Isytihar Darurat Lebih Kepada Selamatkan Kedudukan Perdana Menteri – Ewon

Naib Presiden Upko Ewon Benedick berkata, perisytiharan darurat bagi menangani wabak Covid-19 hanya menunjukkan kelemahan kerajaan kerana sudah ada peraturan dan undang-undang berkaitan isu itu.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Upko, Ewon Benedick mendakwa spekulasi berhubung proklamasi darurat jika benar-benar dilaksanakan lebih bertujuan menyelamatkan kedudukan perdana menteri.

“Betul, kita akui situasi penularan wabak Covid-19 sangat membimbangkan, terutamanya di Sabah dan penularan ini meningkat begitu mendadak sekali selepas pilihan raya negeri dan kita semua tahu punca pilihan raya berkenaan terpaksa diadakan.

“Bagaimanapun menggunakan wabak Covid-19 sebagai justifikasi bagi mengisytiharkan darurat hanya menunjukkan kelemahan kerajaan kerana kita sudah mempunyai peraturan berkaitan yang boleh digunakan iaitu Akta 342 yang sedang digunakan bagi menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

“Jika perdana menteri betul-betul serius mahu menangani penularan wabak Covid-19 ini berbanding menyelamatkan kedudukan beliau, maka beliau boleh membentuk kerjasama membabitkan semua parti politik dalam kerajaan, sekali gus melenyapkan krisis politik di Dewan Rakyat yang beliau bimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu setiausaha agung parti itu, Nelson W Angang berkata, kerajaan tidak perlu mengisytiharkan darurat bagi menangani wabak Covid-19, sebaliknya menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Nelson W Angang.

Katanya, akta berkenaan memberi kuasa kepada kerajaan untuk membuat peraturan, mengawal pergerakan orang dan juga untuk mengerah angkatan tentera seperti apa yang sedang dan telah dilakukan sebelum ini.

”Rakyat Malaysia sudah tahu dan biasa dengan kesemua perintah serta sekatan yang dilaksanakan kerajaan kerana kita telah mengamalkan pelbagai jenis perintah sekatan dan kawalan pergerakan sebelum ini.

”Menerusi kuasa yang ada mengikut Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, saya melihat tiada keperluan darurat diisytiharkan di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Nelson turut membidas kenyataan sesetengah pihak yang menyokong supaya darurat diisytiharkan dengan memberi contoh negara lain turut berbuat demikian.

”Mereka memberi contoh tetapi pihak-pihak ini tidak pula menjelaskan kenapa negara terbabit terpaksa mengisytiharkan darurat.

”Sebagai contoh, di Perancis, kerajaan mengisytiharkan darurat atas sebab keadaan kesihatan awam yang mendesak dengan memberi perintah supaya orang ramai tidak keluar dari rumah kecuali mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting, untuk membeli makanan dan barangan harian rumah serta untuk membuat perintah berkurung.

”Di Israel pula, keadaan darurat diisytiharkan bagi membolehkan kerajaan mengenakan perintah sekatan pergerakan bersyarat, perintah kawalan pergerakan atau ‘lockdown’, pengasingan di rumah dan kebenaran untuk memasuki rumah orang yang dijangkiti Covid-19,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *