KOTA KINABALU: Selaras dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi di Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan tentang aktiviti yang dilarang dibawah sektor-sektor tertentu.
Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masnah Matsalleh dalam satu kenyataan menyatakan, terdapat beberapa aktiviti yang masih dilarang di bawah sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi di negeri ini.
Beliau berkata, antara aktiviti yang masih dilarang adalah penganjuran Bazar Ramadan, Bazar Hari Raya, karnival jualan, kedai gunting rambut dan salun kecantikan; mahupun mencuba pakaian (fitting).
Aktiviti yang dilarang mengikut sektor adalah seperti berikut:-
1. HIBURAN DAN RIADAH
Aktiviti seperti panggung wayang, pusat karaoke, taman tema, muzium, busking, pusat refleksologi, pusat hiburan dan kelab malam.
2. PERAYAAN, KEAGAMAAN DAN PERHIMPUNAN
Aktiviti yang dilarang adalah perarakan agama di masjid atau rumah ibadat lain; perarakan sambutan ulang tahun pasukan keselamatan; sambutan Hari Raya Aidilfitri kecuali dengan ahli keluarga terdekat; perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta majlis-majlis perasmian.
3. PERSIDANGAN DAN PAMERAN
Aktiviti seperti pameran kerjaya, pameran perkahwinan, promosi dan pakej pelancongan, karnival jualan dan semua jenis persidangan yang melibatkan kumpulan yang ramai.
4. PENDIDIKAN
Semua sekolah (rendah/menengah) dan Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta kekal ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
Aktiviti sukan semasa sesi persekolahan, aktiviti kokurikulum bersemuka, sebarang bentuk perhimpunan sekolah dan sebarang bentuk majlis atau program yang mengumpulkan lebih daripada 10 orang.
5. SUKAN
Pertandingan sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai (stadium), acara berkumpulan di luar yang melebihi 10 orang (contoh larian, berbasikal, konvoi bermotosikal), sebarang aktiviti sukan dalaman (sukan dalaman seperti gimnasium), kolam renang dan sukan bersentuhan (seperti ragbi, tinju, bola sepak dan bola keranjang).
6. AKTIVITI SOSIAL
Acara seperti kenduri-kendara, majlis berbuka puasa, majlis perkahwinan dan sambutan ulang tahun, rumah terbuka, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan budaya (seperti ceramah, gotong-royong dan lawatan).
7. PENGANGKUTAN
Aktiviti kapal persiaran.
8. PERNIAGAAN BERPREMIS/PENJAJAAN TANPA PREMIS/PASAR BERBAGUNAN/PASAR TANPA PREMIS/PERUNCITAN/SERBANEKA MAKANAN & MINUMAN
Aktiviti yang tidak dibenarkan adalah perniagaan yang bilangan pelanggan terlalu ramai dalam satu-satu masa dan tertakluk kepada jarak sosial satu meter; bazar Ramadan, bazar Hari Raya dan karnival jualan.
9. KEMUDAHAN PENGINAPAN BERPUSAT PEKERJA (CLQ/HOSTEL/ASRAMA PEKERJA) DI SEKTOR PEMBUATAN DAN LAIN-LAIN SEKTOR
Kemudahan penginapan ini tidak dibenarkan menerima pelawat, bersosial dan besukan secara berkumpulan serta solat berjemaah atau aktiviti-aktiviti ibadah lain.
10. PEMASANGAN DAN PENYENGGARAAN JENTERA (LIF, ESKALATOR, DANDANG) BAGI SEKTOR PERKHIDMATAN /TOWER CRANE DI TAPAK PEMBINAAN
Aktiviti seperti menjalankan kerja secara berkumpulan lebih 10 orang.
11. KEDAI PAKAIAN DAN AKSESORI FESYEN
Aktiviti seperti fitting pakaian.
12. DOBI (LAYAN DIRI)
Aktiviti melipat pakaian di dalam dobi adalah dilarang.
13. CERAMAH/SEMINAR/KURSUS/LATIHAN SECARA BERSEMUKA
14. AKTIVITI PERSIJILAN BAGI AGRIKOMODITI
15. KEDAI GUNTING RAMBUT DAN SALUN KECANTIKAN
16. PERBANKAN DAN PERKHIDMATAN KEWANGAN
Sebarang urus niaga mendapatkan jualan (aktiviti jualan dan pemasaran) di luar premis institusi kewangan atau kawasan awam adalah tidak dibenarkan buat masa ini sehingga diumumkan kelak.
17. PENGURUSAN PERHUTANAN
Aktiviti seperti ekopelancongan hutan dan latihan perhutanan.
18. PERLOMBONGAN DAN PENGKUARIAN
Permohonan baharu bagi peperiksaan teori dan amali pembedil (peletupan).
19. PERLADANGAN DAN PERTANIAN
Aktiviti seperti perladangan dan pertanian, hari bertemu pelanggan, hari jualan barang bekalan ladang, pesta makan buah-buahan, kursus/seminar, konvokesyen Institut Pertanian, lelongan jualan produk ternakan
20. PERIKANAN
Aktiviti perikanan rekreasi (termasuk kolam pancing ikan/udang komersil) dan pusat taman laut, pameran dan akuarium.
21. SENI KREATIF
Aktiviti penggambaran filem/drama/dokumentari dan komersil, acara atau konsert mahupun persembahan kebudayaan dan program melibatkan orang awam di studio atau tempat awam.
22. KEBUDAYAAN DAN KESENIAN
Aktiviti pameran yang melibatkan interaksi antara pekarya dan pelawat
23. PELANCONGAN DAN PERHOTELAN
Penggunaan fasiliti hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang, bilik mesyuarat,dewan seminar, bilik latihan, restoran dan kafe bagi tujuan bufet.
Masnah berkata, sehubungan dengan itu, semua anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk memberi pendidikan kesihatan kepada orang awam terutama melibatkan penjagaan kebersihan diri, amalan penjarakan sosial dan pemeriksaan kesihatan kendiri.
Katanya, PBT merupakan barisan hadapan yang berinteraksi dengan orang awam dan mempunyai kedudukan bersesuaian untuk menjadi ejen penyebar maklumat yang tepat kepada orang awam.- BorneoToday