Seramai 4,022 Orang Dikuarantin Di Sabah, 8 Ingkar Arahan

KOTA KINABALU: Lapan daripada 4,022 orang di Sabah yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah didapati gagal mematuhi arahan berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, lima orang di Tawau dan tiga di Papar didapati ingkar dengan perintah itu dan kesemua mereka diambil tindakan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mengikut Seksyen 24 akta sama, individu yang gagal patuhi perintah kuarantin atau pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatian boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau menerusi satu kenyataan pada 10 malam tadi memaklumkan, bilangan kontak rapat yang masih dalam pemerhatian (PUI) pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah 3,790 orang dan bilangan kontak rapat yang telah tamat tempoh Home Quarantine selama 14 hari adalah seramai 232 orang.

Merujuk kepada hanya satu kes baharu dilaporkan hari ini, Christina berkata, bilangan ujian yang dapat dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu sekarang ini agak terbatas disebabkan kekurangan reagen.

Maka, bilangan kes yang dilaporkan setiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Situasi ini dialami oleh semua makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara. JKNS sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin,” jelasnya.

Christina berkata, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah adalah 170 kes dan tiga kes yang tidak berkaitan dengan perjumpaan tabligh didapati mempunyai  sejarah melancong ke Thailand.

Sehingga kini, satu Pusat Kuarantin baharu telah dibuka di daerah Kota Belud iaitu di Masjid Jamek Kg. Pirasan.

“Setakat hari ini, seramai 553 orang yang ditempatkan di 13 Pusat Kuarantin seluruh Sabah dan enam orang telah dibenarkan pulang,” ujarnya.

Christina berkata, JKNS juga telah mengarahkan penutupan dua ladang masing-masing di Kinabatangan dan Kalabakan, Tawau kerana terdapat beberapa kes positif dilaporkan di ladang-ladang tersebut.

Mengenai video tular menunjukkan kakitangan Hospital Lahad Datu yang menjahit sendiri peralatan pelindung diri (PPE), itu adalah usaha inovatif mereka sementara menunggu bekalan PPE sampai. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *