Cadangan Hajiji Seperti Menidakkan Penurunan Kuasa Diberi Kepada Negeri

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob mengkritik tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yang disifatkan seolah-olah menolak kuasa autonomi yang telah diberikan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) itu adalah satu tindakan yang berpatah balik ke belakang.

Katanya, kerajaan pimpinan Warisan telah berusaha memperjuangkan hak autonomi Sabah tetapi, cadangan mewujudkan JPPS itu tidak seiring dengan kehendak Sabah untuk tidak lagi dikongkong sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan.

“Cadangan Datuk Seri Hajiji Noor tidak melihat secara keseluruhan. Masih terlalu awal untuk kita menyerahkan kuasa. Saya ingat Hajiji belum apa-apa lagi sudah mahu menyerah diri, mahu dikawal oleh persekutuan.

”Kita sudah katakan banyak kali tentang soal autonomi. Sekiranya kita menerima cadangan itu, kita seperti menutup ruang yang ada untuk menerima penurunan kuasa,” katanya ketika mengulas mengenai cadangan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Hajiji Noor yang mahukan JPPS diwujudkan semula di Sabah selaku negeri pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF).

Yusof berkata, keadaan yang berlaku hari ini berbeza dengan semasa pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berperanan sebagai kerajaan yang tidak mesra kerajaan persekutuan.

Namun, kerajaan Warisan pada hari ini secara terang-terangan mengisytiharkan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.

“Kerajaan Sabah mahu pembangunan di negeri ini terus rancak dengan adanya kerjasama antara kedua-dua kerajaan.

”Jika dilihat kerajaan persekutuan masih perlukan kerjasama negeri dalam isu membabitkan isu tanah, bidang kuasa imigresen, permit kerja dan kelulusan pelan pembangunan yang terletak di bawah kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pelajaran & Inovasi ini mahu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di peringkat persekutuan dalam memastikan isu-isu berkaitan sektor pendidikan di Sabah terus diberi perhatian.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan persekutuan harus bekerjasama dalam menyelesaikan isu-isu pendidikan di negeri ini terutama membabitkan isu sekolah daif, kemudahan infrastruktur serta kekurangan peralatan di sekolah.

Katanya, masalah sebegitu telah dikenal pasti oleh kementeriannya sejak kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah negeri ini.

“Tiada orang yang lebih tahu tentang isu-isu pendidikan di negeri ini. Setelah kita mula memerintah Sabah, saya memberi komitmen sepenuhnya untuk meneliti segala permasalahan pendidikan di Sabah.

“Kita mempunyai perancangan untuk menyelesaikan masalah ini. Atas sebab itu, kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan amat penting.

“Jika dilihat masih banyak masalah sekolah yang belum selesai seperti geran tanah, tapak sekolah dan sijil menduduki. Kesemua ini memerlukan kerjasama antara negeri dan persekutuan,” katanya.

Tambahnya, beliau sedar dasar-dasar pendidikan dilaksana oleh kementerian di peringkat persekutuan namun, kerjasama dengan negeri masih perlu bagi menyelesaikan isu-isu tertentu.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *