Aziz Beri Penjelasan Terperinci Mengenai PSS Dalam Dewan Negara

KOTA KINABALU: Dewan Negara hari ini diberi penjelasan lengkap berhubung Pas Sementara Sabah yang akan dilaksana bermula Jun tahun depan bagi mengkoordinasikan tiga dokumen yang dipegang oleh warga asing iaitu Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman yang menjawab setiap persoalan secara terperinci menegaskan PSS tidak akan sama sekali dijadikan medium untuk pemegangnya memohon taraf warganegara Malaysia.

Buat pertama kali juga, Mohd. Azis menjelaskan kronologi bagaimana PSS sebenarnya telah dicadangkan oleh Barisan Nasional pada tahun 2015 yang dikenali sebagai Pas Residen Sabah namun tidak sempat dilaksanakan, justeru kerajaan sekarang hanya memastikan cadangan baik untuk menguruskan warga asing itu dijalankan.

“Kalau Penduduk Tetap selepas 12 tahun sudah boleh mohon jadi warganegara daripada segi peraturan tetapi lulus atau tidak itu perkara kedua, tetapi untuk PSS 10 kali, 20 kali, 30 kali dia sambung pun dan memegang kad PSS ini selama 100 tahun pun tidak boleh gunakan kad PSS sebagai asas untuk memohon kewarganegaraan.

“Apa yang penting sekali lagi disebut PSS bukanlah kad pengenalan dan bukanlah medium untuk kita memberikan kewarganegaraan kepada mana-mana individu yang memegang kad ini, hanya sebagai satu mekanisme untuk kita mengkoordinasikan tiga kad yang dikeluarkan oleh tiga agensi di Sabah hingga menyukarkan pihak berkuasa kita untuk membuat penguatkuasaan,” katanya.

Mohd. Azis yang juga Ahli Parimen Sepanggar berkata, beliau pernah menyertai operasi Jabatan Imigresen di kawasannya sendiri dan banyak warga asing yang ditahan memiliki Kad Burung-Burung dan sijil lahir Sabah berstatus bukan warganegara, justeru sukar untuk menghantar mereka pulang.

Katanya, ini kerana pengeluaran Kad Burung-Burung dan Sijil Banci sejak zaman pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan BN selama 26 tahun menyebabkan masalah itu semakin berlarutan apabila pemegang asal kad telah beranak pinak sehingga empat generasi dan perkara itu kini terpaksa ditanggung oleh Parti Warisan Sabah (Warisan).

Jelas beliau, berikutan itu Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing  yang dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman kemudiannya meluluskan cadangan mengeluarkan Pas Residen Sabah sebagai langkah penyelesaian.

“Saya ingin jelaskan sejelas-jelasnya hari ini yang mengeluarkan Kad Burung-Burung ini bermula pada ketika PBS memerintah bukan Warisan, yang dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu bayangkanlah 26 tahun kerajan BN memerintah tiga penggal, PBS memerintah mereka yang keluarkan ini dan kerajaan pada hari ini ditinggalkan dengan masalah yang terpaksa saya selesaikan.

“Maka dengan itu untuk kita koordinasikan tiga dokumen ini, penting kepada pihak berkuasa kita dengan tiga kad ini alangkah eloknya kalau kita jadikan satu, tiga dokumen ini telah dikeluarkan jadi kita menyokong apa yang telah dirancang kerajaan terdahulu,” katanya.

Tambahnya, semasa pelaksanaannya pada 1 Jun 2020 nanti, pihak Imigresen akan melakukan pemeriksaan ketat terhadap setiap dokumen yang dipalsukan dan jika wujud, pemegangnya akan segera ditangkap kerana terbukti sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tegasnya, hanya IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang asli dan ada dalam rekod akan digantikan dengan PSS, mana-mana dokumen palsu akan dapat dikesan.

Tambahnya, bermula 1 Januari 2020 sesi townhall dan penerangan akan dibuat secara agresif melibatkan semua pemimpin masyarakat serta wakil rakyat kerajaan dan pembangkang agar semuanya dapat memahami apa sebenarnya serta bagaimana PSS dilaksana.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *