Lawatan Kerja Ke Jepun Berakhir Dengan Jayanya – Shafie

Shafie (tengah) pada sidang media sebaik tiba dari lawatan kerja ke Jepun.

KOTA KINABALU: Perjanjian pelaburan bernilai RM100juta yang dimeterai dengan sebuah syarikat Jepun memperlihatkan lawatan kerja selama lima hari ke Jepun berakhir dengan jayanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah berjaya memperoleh satu projek dengan termeterainya perjanjian pelaburan berkenaan.

“Ini memberi petanda bahawa lawatan kerja ini membawa hasil yang cukup menggalakkan.

“Usaha ini pasti dapat membantu menstabilkan harga minyak sawit mentah (CPO) dengan adanya peningkatan kegunaan minyak sawit,” katanya ketika mengulas mengenai lawatan kerja selama lima hari ke Jepun, yang berakhir hari ini (Khamis).

Perjanjian yang ditandatangani itu melibatkan sebuah syarikat berpangkalan di Tokyo, Blue Capital Management Co.Ltd, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan syarikat tempatan, Blossom Bio Energy Sdn Bhd. Ia akan memfokuskan kepada pembangunan tenaga biomas di Sabah.

Menurutnya, syarikat yang menandatangani perjanjian itu sudah melawat POIC Lahad Datu dan mereka sedia maklum dengan keadaan di situ.

Katanya, masalah bekalan air dan elektrik di POIC tidak dilihat sebagai masalah utama kerana kawasan Pantai Timur Sabah itu tidak mempunyai masalah air yang serius. Untuk bekalan elektrik pula, mereka mungkin perlukan genset bagi menampung keperluan bekalan elektrik.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu memastikan pelabur mendapat pulangan pelaburan yang baik.

Mohd Shafie berkata, dalam siri lawatan kerja ke Kobe, Nagoya dan Tokyo itu juga memperlihatkan pertemuan dengan syarikat dalam industri automotif, perabot dan teknologi berkaitan. Malah, ada antaranya menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sabah.

Katanya, beberapa inisiatif juga telah dibincangkan bagi mengurangkan masalah ‘red tape’ dalam mempermudahkan urusan pelaburan mereka di Sabah.

“Ada keperluan untuk pihak tertentu mendapatan kelulusan secepat mungkin dan kita mungkin boleh memberi kelulusan pelan pembangunan dalam tempoh 24jam.

“Namun, ada beberapa syarat tertentu yang harus dipenuhi terlebih dahulu seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan sebagainya,” ujarnya.

BorneoToday

509