BELURAN: Polis meminta penduduk daerah ini yang kehilangan keluarga atau mana-mana pihak ladang kehilangan pekerja, supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran susulan penemuan mayat lelaki terapung di Sungai Labuk.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata setakat ini tiada mana-mana pihak atau waris menuntut mayat yang ditemui hanyut tersebut pada Isnin.
Menurutnya, sehingga kini tiada waris yang hadir menuntut mayat lelaki terbabit.
“Perkara ini menyebabkan pihak kami belum dapat melakukan proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian lelaki berkenaan.
“Tidak ada banyak tanda atau ciri pada mayat terapung itu namun ketika ditemui lelaki itu hanya berseluar gelap dan memakai stoking panjang.
“Justeru, kami meminta mana-mana waris atau penduduk setempat yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan.
“Begitu juga kepada pihak ladang sekiranya ada yang kehilangan pekerja. Sila hadir bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Terdahulu, pada Ahad, mayat lelaki terapung di Sungai Labuk berdekatan Kampung Bambangan kira-kira jam 6 petang.
Mayat berkenaan kemudiannya berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 11 pagi di kawasan Sungai Sapi.
Pemeriksaan awal mendapati, keadaan mayat tidak sempurna dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam.