Sabah Pikat Syarikat Jepun Bangunkan Sektor Biofuel

TOKYO, JEPUN: Sabah mempunyai sumber mentah daripada sawit yang cukup banyak untuk membolehkan negeri ini  melabur dalam industri biofuel dan biodiesel melalui kepakaran daripada syarikat terkemuka Jepun yang telah menceburi bidang itu dengan cemerlang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, Pelabuhan Industri Kluster Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu sudah tersedia untuk membangunkan industri berkenaan, justeru langkah yang perlu diambil sekarang adalah memastikan pelaksanaannya walaupun memerlukan modal yang besar.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat hampir dua jam dan mengadakan lawatan di kilang pemprosesan biofuel milik Euglena Corporation Limited (Euglena) di Yokohama, Jepun hari ini.

“Saya yakin dengan adanya inisiatif yang dilakukan oleh pihak syarikat ini kalau adanya kerjasama dengan negara kita khususnya Sabah kita yakin bukan hanya sumber baharu minyak bahkan juga untuk memastikan kegunaan kelapa sawit negara kita dapat dipertingkatkan serta meningkatkan lagi permintaan produk kelapa sawit di negara kita.

“Di samping itu sudah pasti akan dapat membantu daripada segi harga yang boleh kita kekalkan stabil serta dapat membantu masyarakat bukan hanya industri tetapi masyarakat luar bandar yang berkecimpung dalam produk ini,” katanya.

Euglena adalah syarikat peneraju industri biofuel dan biodiesel Jepun yang menghasilkan minyak mesra alam Green Oil untuk menggerakkan kenderaan, minyak jet serta enzim untuk penghasilan makanan menggunakan bahan mentah daripada sawit serta alga.

Mohd Shafie berkata, sekiranya kerjasama dengan Euglena berjaya, nilai pelaburan bersama syarikat itu di POIC boleh mencecah sehingga RM2 bilion dalam jangka masa panjang.

Sehubungan itu katanya, beliau telah mempelawa pemilik Euglena, Mitsuru Izumo untuk datang ke Sabah bagi melihat sendiri peluang pelaburan yang ada dan membincangkan kerjasama yang boleh dijalin.

“Saya yakin dengan adanya tanaman sawit yang begitu luas di negara kita, kita perlu melihat alternatif kegunaan apa dia untuk memastikan harga dan permintaan di peringkat dunia dapat kita tingkatkan dan ini adalah salah satu produk yang telah dilakukan kaji selidik di Universiti Tokyo dan mereka juga mengeluarkan enzim yang bukan hanya untuk dimakan tetapi menghasilkan biofuel.

“Saya telah mempelawa pemilik syarikat untuk datang ke negara kita melihat bagaimana kerjasama sebaik mungkin untuk kita realisasikan, mereka memang berminat pasal mereka tahu bahawa sebagai negara pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia selain daripada Indonesia dan mereka melihat bahawa Malaysia sebagai satu pilihan utama,” kata beliau.

Sementara itu, Mitsuro ketika ditemubual berkata, syarikatnya mempunyai perancangan untuk melabur di Sabah dan akan menghantar rombongan ke sana tidak lama lagi bagi perbincangan lebih lanjut.

“Kami sangat teruja dapat bermesyuarat dengan Ketua Menteri Sabah dan merancang melawat Sabah tidak lama lagi untuk menikmati apa yang ada dan mengambil langkah seterusnya untuk kerjasama antara Jepun serta Malaysia khasnya Sabah.

“Hari ini adalah permulaan sebelum kita membuat keputusan besar, terima kasih sekali lagi kerana memberikan peluang kepada kami,” katanya.

Pada hari yang sama, rombongan perdagangan dari Sabah turut mengadakan lawatan ke Tokyo Factory Automation Technical Centre yang diurus oleh Mitsubishi Electric Corp.

Mitsubishi Electric Corp merancang untuk membuka satu kemudahan di Malaysia bagi mempamerkan sistem automotif serta kebolehan kilang mereka.

Ketua Menteri kemudian menghadiri taklimat yang diberikan oleh Tsuneishi Shipbuilding Co Ltd bagi mengakhiri sesi lawatan hari ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *