Fuyuko Iwasaki Graduan UMS Pelajari Bahasa Melayu & Dusun

Fuyuko Iwasaki

KOTA KINABALU, 23 Nov: Berpeluang berada di sebuah kampung di Penampang selama 10 hari pada 2012, yang dihuni penduduk daripada kaum Dusun, menjadi titik permulaan kepada Fuyuko Iwasaki mempelajari bahasa Melayu dan bahasa tempatan Sabah iaitu Dusun.

Pada masa itu, wanita berusia  29 tahun yang berasal dari Chiba, Jepun, ini berada dalam tahun akhir jurusan ekonomi dan menyertai program lawatan anjuran Gakushuin University, iaitu tempat beliau mengambil ijazah pertamanya.

Selepas itu,  pada tahun berikutnya beliau kembali lagi ke Sabah seorang diri dan menetap di Kampung Buayan, Penampang selama tiga bulan dengan hanya berbekalkan kamus.

“Selepas tiga minggu berada di kampung itu, saya sudah boleh memahami sedikit bahasa Melayu dan menulis perkataan dalam bahasa itu pada buku nota.

“Sekarang saya sudah boleh memahami bahasa Dusun dan bertutur sedikit bahasa itu,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselori, di sini hari ini.

Fuyuko, yang memulakan pengajiannya sejak 2015, merupakan penerima Ijazah Sarjana Sastera (Sosiologi dan Antropologi Sosial) pada majlis konvokesyen ke-21 UMS.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata beliau mahu mempelajari bahasa tempatan itu untuk memudahkannya berkomunikasi dengan penduduk kampung.

“Jika ada peluang saya mahu bekerja di Sabah, tetapi kalau belum ada, saya harap dapat kerja yang ada kaitan dengan Sabah,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *