‘Pak guard’ Pun Warga Sekolah Juga, Hormatilah…

Dali menganggap murid sekolah seperti adiknya sendiri sehingga rakaman mereka bersalaman (gambar kecil) tular di media sosial. Foto ihsan Dali Udan

KENINGAU: “Saya sudah anggap murid sekolah ini seperti adik sendiri dan rasa dihormati apabila mereka hulurkan tangan untuk bersalam,” kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan, Keningau, Sabah, Dali Udan.

Dali, 27, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai videonya bersalaman dengan murid di pintu pagar sekolah yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Selain warga net, video berdurasi 41 saat itu juga mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berkongsi rakaman itu di Twitter miliknya, dua hari lalu dengan ciapan ‘sekolah harus berfungsi sebagai satu platform pendidikan yang memupuk budaya hormat menghormati’.

Kenyataan itu disokong pengikutnya yang menganggap amalan itu perlu diterapkan sejak usia kecil seperti pepatah ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.

Bercerita lanjut, Dali mengakui terkejut apabila dimaklum rakannya mengenai video tular itu kerana tidak sedar bila dan siapa merakamnya.

“Saya bekerja di sini sejak tujuh bulan lalu dan ketika hari pertama melaporkan diri, guru besar sudah memberitahu apa perlu dilakukan termasuk amalan warga sekolah iaitu bersalaman dengan murid yang hadir ke sekolah.

“Jadi, amalan ini sudah menjadi kebiasaan sejak awal lagi dan tentunya saya rasa dihargai serta dihormati oleh murid walaupun hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan.

“Amalan ini merapatkan jurang antara kami dan satu pengalaman baru buat saya dan berbeza berbanding tempat kerja lama.

“Ikutkan, saya tahu mengenai video tular itu daripada rakan Facebook dan berdasarkan komen warga net, ramai menyokong serta memuji sikap murid kerana tahu menghormati orang yang lebih dewasa,” katanya ketika dihubungi, Harian Metro.

Sementara itu, Guru Besar SK Luagan, Junis Durulou@Reddwan, 56, berkata, amalan bersalaman dengan murid bukan perkara baru, sebaliknya menjadi kebiasaan dalam kalangan warga sekolah sejak sekian lama bertepatan dengan program Guru Penyayang yang mula dilaksanakan kira-kira lapan tahun lalu.

“Sebenarnya, amalan murid bersalaman dan mencium tangan sudah dipraktikkan sejak dulu lagi iaitu sebelum saya mengambil alih jawatan sebagai guru besar di sini.

“Ia seiring program guru penyayang yang menggalakkan semua pendidik menyambut kehadiran murid di sekolah dengan bersalam dan bertanya khabar,” katanya.

Katanya, tidak terkecuali pengawal keselamatan yang turut bersalaman dengan murid yang memasuki perkarangan sekolah sama ada sesi pagi atau petang.

“Amalan ini (bersalaman) berterusan hingga ke bilik darjah, kantin atau ketika murid berjumpa guru di luar waktu sekolah.

“Selain guru dan pengawal keselamatan, murid juga akan bersalaman dan mencium tangan ibu bapa atau penjaga yang berada di pagar sekolah sebagai tanda hormat.

“Saya percaya amalan ini dipraktikkan murid di sekolah lain cuma kisah sekolah kami diketengahkan kerana ada individu memuat naik rakaman video di laman sosial” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *