Moroh Biging Satu-Satunya Tukang Kasut Tempatan Di Tamparuli

Foto BERNAMA

TAMPARULI, 16 Okt: Melihat kepada perniagaan membaiki kasut yang didominasi warga asing di kawasan ini membuatkan Moroh Biging membuat keputusan menjadi tukang kasut selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai budak pejabat oleh sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu pada 1999.

Malah, Moroh, 49, dari Kampung Rangalau Lama, Kiulu, merupakan satu-satunya tukang kasut warga tempatan yang berniaga secara kecil-kecilan di kaki lima kedai di Tamparuli sejak 2004.

“Saya bermula kosong, namun hasil usaha dan ketekunan mempelajari kaedah membaiki kasut rosak, menjadikan saya mahir dalam bidang yang jarang diteroka warga tempatan itu,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau memulakan perniagaan membaiki kasut dengan modal RM300 untuk penyediaan peralatan asas seperti gam, benang, pisau, gunting dan kulit penampal sering mendapat pujian pelanggan kerana ketelitian serta kekemasan hasil kerjanya.

Beliau mengakui timbul minat mencuba bidang membaiki kasut selepas mendapati pekerjaan itu dikuasai warga asing dengan mengaut keuntungan berlipat ganda tanpa membayar sewa lokasi dan lesen perniagaan.

“Kenapa harus bersikap malu untuk mencuba bidang yang berupaya memberi pendapatan lumayan kepada warga asing yang menceburinya, tanpa membayar sewa dan lesen perniagaan,” katanya.

Moroh yang mampu membaiki 10 pasang kasut sehari dengan mengenakan bayaran RM8 hingga RM16 sepasang itu mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,300 sebulan sekali gus berupaya menyara keluarganya.

“Setiap kerja membaiki kasut rosak akan cuba diselesaikan dalam tempoh 40 minit hingga sejam untuk memberi keyakinan serta keselesaan kepada pelanggan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Langit tidak selalu cerah, Moroh turut berdepan cabaran apabila pernah dihalau dan barang dirampas penguat kuasa kerana beroperasi di lokasi larangan di pekan ini, bagaimanapun kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki dalam bidang ini.

Justeru, beliau berharap ada pihak yang membantu memberi suntikan modal untuk membesarkan perniagaan kerana buat masa ini beliau tidak mampu menyewa premis selain berdepan risiko barangan dicuri dan dirampas pihak berkuasa.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *