Pemilik Lembu Di Keningau Diarah Kurung Ternakan Daripada Berkeliaran

Sebahagian lembu yang berkeliaran dan memgotorkan padang permainan dengan najis di sebuah perkampungan di daerah Keningau.

KENINGAU: Majlis Daerah Keningau (MDK) akan bertindak ke atas binatang ternakan berkeliaran di daerah ini yang tidak terkawal terutama pada waktu malam dan menimbulkan kemarahan kepada orang ramai terutama penduduk kampung.

Lembu-lembu yang berkeliaran tanpa dikurung oleh pemiliknya turut mengganggu lalulintas, selain mengotorkan jalan raya dan kawasan perkampungan dengan najis.

“MDK telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pemilik lembu, kerbau dan kuda agar mengurung haiwan ternakan mereka daripada berkeliaran di kawasan awam dan jalan raya di daerah ini,” kata Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Mumin Amsah, di sini.

Katanya, notis yang bertarikh 17 September itu telah ditujukan kepada Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di semua kampung di daerah ini.

“Saya meminta kerjasama daripada pemilik haiwan ternakan supaya menangkap dan mengurung haiwan ternakan masing-masing daripada berkeliaran di tempat-tempat awam dan di jalan raya.

“Haiwan ternakan ini mempunyai pemilik dan harus bertanggungjawab mengurungnya kerana jika tidak dikurung dan berkeliaran boleh membahayakan keselamatan orang awam, pengguna jalan raya, merosakkan tanaman serta mengotorkan tempat-tempat awam dengan najis,” katanya.

Mumin berkata, membiarkan haiwan ternakan berkeliaran sangat bertentangan dengan kehendak di bawah undang-undang kecil Majlis Daerah control of animal By Laws 1981 (amd.1984) dan boleh diambil tindakan (untuk menangkap haiwan tersebut).

Justeru, Mumin berkata, majlis daerah memohon kerjasama kepada ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi MPKK setiap kampung untuk menasihati dan meminta pemilik haiwan ternakan supaya menangkap dan mengurungkan haiwan ternakan mereka.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *