22 Sekolah Daif Di Sabah Dibina Semula Tahun Depan – Yusof

KOTA KINABALU: Pembinaan bangunan baharu 22 buah sekolah daif di Sabah dengan kos bernilai RM88 juta dijangka akan bermula pada awal tahun hadapan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pembinaan bangunan baharu sekolah daif itu dilaksana menerusi peruntukan yang diluluskan Kementerian Pendidikan pada tahun ini iaitu sebanyak RM10juta serta peruntukan khas tambahan RM78 juta yang diberikan melalui Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, pembinaan tiga buah sekolah melalui peruntukan RM10juta itu akan dilaksana mengikut kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Tiga sekolah daif yang dibina dalam fasa pertama itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai Beluran, SK Nibang Pitas dan SK Tiong Widu Tambunan.

”Pembinaan tiga buah sekolah ini telah dibuka untuk tender dan sedang dalam proses analisa teknikal. Kini, ia dalam proses menunggu pengeluaran surat tawaran kontraktor pada hujung tahun ini.

”Pembinaannya dijangka akan bermula pada awal Januari 2020 dan dijangka siap pada pertengahan tahun.

”Pelaksaan projek ini akan dipantau secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelajaran & Inovasi,” katanya ketika Sidang Media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek Sekolah Daif Fasa Pertama, di sini pada Jumaat.

Yusof berkata, pembinaan 19 buah sekolah dengan peruntukan RM78 juta itu akan mula dibuka untuk tender pada hujung tahun ini dan dijangka menerima surat tawaran kontraktor pada awal tahun depan.

”Pembinaan sekolah daif dibawah peruntukan khas tambahan ini memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Negeri untuk proses pengeluaran tender dan surat tawaran dan diurus selia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

”Namun, pemantauan pelaksanaan projek akan dilakukan bersama oleh KPM dan Kementerian Pelajaran & Inovasi,” ujarnya.

Menurutnya, pembinaan 19 sekolah ini akan dilakukan menggunakan kaedah konvensional. Sekolah-sekolah itu terletak di Papar, Beaufort, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau dan Tawau.

Yusof berkata, 22 buah sekolah daif yang akan dibina baharu itu antara 91 sekolah daif di Sabah yang bangunannya disytiharkan tidak selamat diduduki oleh JKR.

Katanya, di Sabah terdapat 587 sekolah daif yang terdapat di Sabah. Maka, dengan pembinaan 22 sekolah itu, kini terdapat 567 lagi sekolah daif yang perlu dibina baharu dan dinaiktaraf.

”Saya berharap sekolah daif selebihnya ini akan dimasukkan dalam belanjawan tahun depan mahupun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *