KOTA KINABALU: Kejadian banjir kilat terbesar pada 2015 mengubah secara keseluruhan struktur geografi kawasan Sungai Melangkap di Kota Belud, Sabah.
Kawasan yang pada asalnya merupakan kebun tanaman milik seorang penduduk di kawasan tersebut musnah sekelip mata akibat bencana banjir yang berpunca daripada gempa bumi bermagnitud 5.9 pada skala Ritcher di Gunung Kinabalu pada ketika itu.
Meskipun sukar untuk dilupakan, perubahan tersebut seperti memberi 1,001 hikmah kepada penduduk yang menganggapnya sebagai pembawa rezeki baharu menerusi produk pelancongan desa.
Ini kerana, perubahan bentuk muka bumi yang pada asalnya sebuah kebun beralih kepada tapak peranginan berkongsepkan perkelahan yang menawarkan permandangan indah berlatar belakangkan Gunung Kinabalu.
Melihat kepada rezeki baharu itu, seorang penduduk di kawasan berkenaan mengambil peluang membangunkan lokasi percutian keluarga yang dinamakan sebagai Polumpong Melangkap View Camp Site (PMVCS).
Pengusaha PMVCS, Sambatan Gunsalahon, 67, memberitahu, kejadian itu benar-benar memberi nafas baharu buat keluarganya untuk menjayakan tapak perkhemahan santai tersebut.
Katanya, selepas kejadian bencana alam itu, mereka turut bersedih kerana kawasan yang bukan sahaja menjadi punca rezeki dan tempat bermain sejak kanak-kanak, musnah dalam sekelip mata.
“Pada asalnya tapak ini adalah sebuah kebun tanaman buah-buahan dan kami sekeluarga sering ke sini untuk memungut hasil serta bermain.
“Selain itu, pada asalnya kawasan ini hanya mempunyai anak sungai yang mengalir melalui dua alur. Selepas kejadian itu, sungai menjadi besar dan membentuk satu alur sahaja.
“Kini semuanya berubah, bahkan suasananya lebih indah dan menarik. Sebab itu kami bangunkan semula untuk dijadikan tapak pelancongan kepada orang ramai bagi aktiviti santai khususnya untuk kelurga,” katanya kepada S2 di sini baru-baru ini.
Sambatan menambah, kejadian banjir tersebut mengubah 100 peratus landskap sungai dan tanah yang kini dipenuhi batu yang dipercayai daripada kawasan pergunungan tersebut.
“Sebelum ini kawasan percutian ini merupakan tanah kebun yang terbentuk seperti pulau atau polumpong dalam bahasa Dusun kerana memiliki dua anak sungai.
“Namun sejak kejadian itu, aliran sungai itu berubah menjadi satu dan landskapnya juga bertukar daripada pasir putih kini dipenuhi batu,” ujarnya.
Menurutnya, selepas kejadian bencana itu, tapak kebunnya terbiar hampir dua tahun sebelum diusahakan menjadi tapak peranginan yang kini mendapat sambutan ramai.
“Selepas tempoh itu, saya bersama keluarga nekad membangunkan tapak kebun itu untuk dijadikan lokasi perkhemahan dengan melihat kepada permandangan yang cantik dan sungai yang jernih dan sejuk.
“Perancangan yang diusahakan bersama sembilan orang anaknya nyata membuahkan hasil selepas kawasan itu tular di media sosial sejak tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, PMVCS turut menyediakan pakej tertentu khususnya pengunjung yang memilih untuk menginap dengan menyediakan kira-kira 100 buah khemah, termasuk kemudahan barbeku , dapur arang dan moden.
“Pengunjung menantikan panorama puncak Gunung Kinabalu yang jelas kelihatan dari kawasan perkhemahan, namun pengunjung hanya berpeluang menyaksikannya pada waktu-waktu tertentu.
“Keindahan puncak Gunung Kinabalu dapat dilihat secara jelas antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi atau 3 petang hingga 4 petang.
Selain menyajikan suhu serendah 20 darjah Celsius pasti memberikan peluang kepada pengunjung menghirup udara segar di kawasan perkampungan berkenaan,” jelasnya.
Sehingga hari ini, PMVCS mampu menampung sehingga 500 pengunjung setiap minggu dan mereka berpeluang menikmati pemandangan gunung sekitar pukul 7 pagi hingga 10 pagi dan 3 petang hingga 4 petang.
Pihak pengurusan PMVCS turut komited untuk memastikan nilai alam semula jadi di kawasan itu akan terus dipelihara dan dijaga untuk generasi akan datang.