Tabiat Merokok Di Kedai Makan Kembali Rancak

Sekadar Gambar Hiasa

Ketika awal tempoh pendidikan larangan merokok tahun ini, penulis mendapati ramai perokok sanggup meninggalkan meja makan dan pergi sehingga jarak tiga meter dari premis untuk merokok. Walaupun ada yang culas dan tetap merokok di kawasan kedai makan, ia hanya sebilangan kecil, kebanyakannya mempunyai kesedaran tinggi, selain menghormati papan tanda larangan merokok.

Ketika itu, ibu bapa juga mula yakin dan gembira untuk membawa anak kecil ke kedai kopi untuk sarapan pagi, kerana yakin anak mereka selamat daripada asap rokok yang berbahaya.

Namun, kesedaran sivik itu hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’. Ia mampu bertahan beberapa bulan sahaja apabila kedai makan dan kedai kopi kembali kepada asal dengan sikap pelanggan yang merokok secara berleluasa.

Perbuatan itu ketara apabila kerajaan mengumumkan pendidikan larangan merokok yang asalnya selama enam bulan, kemudiannya dilanjutkan selama setahun iaitu sehingga Disember ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia bagi memberi peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

Kementerian Kesihatan berpendapat impak penguatkuasaan pendidikan yang dijalankan memberi kesan sangat positif.

Bagaimanapun, pihak kementerian juga maklum ada yang masih merokok di tempat makan diwartakan sebagai kawasan larangan. Hasil pemerhatian dan tinjauan penulis mendapati, rata-rata perokok tegar seolah-olah sudah lupa larangan merokok di premis kedai makan sebagaimana diumumkan kerajaan.

Malah, tiada pemantauan dan pemeriksaan dilakukan pihak jabatan kesihatan di premis kedai makan menyebabkan rata-rata perokok tegar sudah tidak mengendahkan larangan berkenaan. Ketika penulis bertanyakan kepada salah seorang perokok tegar yang begitu berani merokok secara terbuka di kedai makan sedangkan papan larangan merokok hanya berada di belakangnya, secara angkuh pemuda itu berkata usaha kerajaan itu hanya sia-sia.

Dakwa pemuda itu, jika benar kerajaan betul-betul mahu melakukannya, sudah tentu sekarang ini tiada siapa yang berani merokok di kedai makan memandangkan sekarang sudah memasuki September dan tempoh pendidikan bakal berakhir tiga bulan lagi.

Malah, pemuda itu turut memaklumkan jika benar kerajaan mahu melaksanakan larangan merokok di premis kedai makan, ia perlu disusuli tindakan kerana pengumuman sahaja tidak mencukupi.

Seorang peniaga berusia 50 tahun yang ingin dikenali Fauziah, berpendapat mereka tidak mampu menghalang pelanggan terus merokok memandangkan perlu menjaga periuk nasi. Akuinya, kesedaran dalam kalangan perokok hanya bertahan dua bulan selepas pengumuman kerajaan dan kini situasi itu kembali kepada asal.

Justeru, penulis berpendapat tempoh penguatkuasaan pendidikan larangan merokok selama setahun itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Jabatan Kesihatan di negeri masing-masing perlu memainkan peranan dengan membuat pemeriksaan mengejut di premis termasuk di kawasan kampung, supaya maklumat itu sampai ke semua peringkat.

Walaupun sukar untuk memastikan usaha itu mendapat kerjasama 100 peratus perokok tegar, ia akan berjaya dengan usaha berterusan jabatan kesihatan dengan dibantu pengusaha kedai makan.

Suami penulis sendiri seorang perokok tegar. Dia pernah berjanji mahu berhenti merokok sebelum berkahwin, namun ia hanya tinggal janji.

Bagaimanapun apa yang boleh dipuji suami penulis tidak merokok berdekatan anak-anak, di dalam rumah atau kedai makan.

Berita Harian