KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini amat bererti buat Agustavia Joe Guasi apabila tarikh keramat itu bukan hanya meraikan hari lahirnya tetapi juga merupakan kenangan terindah apabila telah dilantik sebagai Ketua Balai Bomba Lintas, di sini pada 1 Ogos lalu.
Lantikan itu menjadikan Agustavia, 37, memecah rekod kerana menjadi wanita pertama di Sabah memegang jawatan itu yang biasanya didominasi oleh golongan lelaki sebelum ini.
Berkongsi kisah bersama Bernama baru-baru ini, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata pada mulanya beliau hanya berhasrat ingin menjadi seorang wanita bekerjaya namun tidak menyangka tuah menyebelahi dirinya apabila dilantik ke jawatan itu hampir sebulan lalu.
“Saya mula mendapat latihan rekrut di Akademi Bomba Sabah selama setahun bermula 2001 hingga menamatkan latihan pada 2002 sebelum ditempatkan di bahagian latihan sehingga 2007,” katanya yang berasal dari Kampung Nalapak, Ranau.
“Kemudian saya dipindahkan ke Bahagian Operasi dan Penyelamat Negeri Sabah pada 2007 sehingga 2009. Setahun selepas itu, saya bertugas di sini (Balai Bomba Lintas), sebelum bertugas di Pusat Gerakan Operasi Sabah pada 2011 sehingga Julai lalu,” katanya ramah.
Meskipun dalam kesibukkannya bagi memastikan anak-anak buahnya menjalankan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan, Agustavia kini sedang mengikuti pengajian jarak jauh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam di Universiti Utara Malaysia.
Beliau berkata antara tugasan yang telah dikendalikannya termasuk Ops Gempa Bumi di Gunung Kinabalu dan Ops Kemarau di daerah Papar pada 2015 serta kes-kes kebakaran rumah setinggan sekitar Kota Kinabalu.
Agustavia berkata beliau tidak terfikir untuk menjadi anggota bomba dan tidak tahu tugas sebenar anggota bomba, hanya mengetahui bomba memadam kebakaran dan menyelamat mangsa kemalangan jalan raya.
“Selepas masuk bomba barulah jatuh cinta dengan kerjaya ini dan amat sesuai dengan jiwa saya,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, Ranau.
Anak bongsu dari tiga beradik itu mengakui bukan mudah baginya untuk memikul amanah dan tanggungjawab itu kerana peranan dan tugas anggota bomba pada masa kini semakin mencabar.
Katanya, peranan ketua balai bukan hanya bertanggungjawab terhadap anggotanya tetapi juga menjadi barisan hadapan untuk berdepan dengan masyarakat.
“Mereka yang berminat untuk menjadi anggota bomba terutamanya wanita, persiapkan diri dengan mental dan fizikal yang mampu untuk menggalas tugas sebagai anggota bomba. Kerjaya ini tidak semudah menyarung uniform, perlu sentiasa berhadapan dengan risiko semasa menjalankan tugas.
“Sesetengah wanita takut pada api, tetapi sesetengah wanita menjadi seperti api,” katanya yang berkongsi ayat yang menjadi inspirasinya selama ini. – Bernama