Anak Penyu Berkepala Dua Ditemui Di Pulau Mabul

Penyu hijau berkepala dua di Pulau Mabul, Semporna. – Ihsan Scuba Junkie

KOTA KINABALU: Seekor anak penyu hijau baru menetas dikesan memiliki dua kepala ketika mahu dilepaskan ke laut di pusat penetasan penyu di Pulau Mabul, Semporna, kelmarin.

Anak penyu itu adalah seekor daripada 93 anak penyu yang dilepaskan dari satu sarang di pusat berkenaan yang dikendalikan SJ SEAS, sebuah badan konservasi diusahakan pengendali aktiviti menyelam Scuba Junkie.

Penyu hijau berkepala dua di Pulau Mabul, Semporna. – Ihsan Scuba Junkie

Pengerusi SJ SEAS, Mohd Khairuddin Riman, berkata ia adalah penemuan pertama sejak melaksanakan kerja konservasi penyu di pulau berkenaan.

“Sehingga kini kami sudah melepaskan kira-kira 13,000 anak penyu dari pusat penetasan dan tidak pernah menemui seperti ini sebelum ini. Warden Kehormat Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) pun terkejut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penyu hijau berkepala dua di Pulau Mabul, Semporna. – Ihsan Scuba Junkie

Katanya, ketika penemuan itu, mereka sedang memantau dua kumpulan anak penyu yang baru menetas dan penyu lain yang sedang bertelur.

Pengurus Konservasi yang juga pakar biologi marin SJ SEAS, David McCann, berkata pemeriksaan mendapati kedua-dua kepala anak penyu itu bernafas berasingan.

“Ia juga bertindak secara spontan secara berasingan. Kepala kanan kelihatan mengawal sirip kanan depan, manakala kepala kiri mengawal sebelah kiri. Namun, ia mampu mengawal pergerakan untuk berjalan dan berenang,” katanya.

Ketua Veterinar Unit Penyelamat Hidupan Liar, JHLS, Dr Sen Nathan, berkata keadaan penyu memiliki dua kepala itu adalah sangat luar biasa.

Sebelum ini, katanya kes sama pernah dikesan di Pulau Redang, Terengganu pada 2014 namun penyu terbabit mati akibat pneumonia selepas kira-kira tiga bulan ditetas.

“Malangnya, penyu seperti ini tidak mampu hidup di habitat liar. Bagi spesimen ini, cengkerang bawahnya tidak terbentuk sepenuhnya. Pemerhatian juga mendapati ketika berada dalam air, satu daripada kepalanya tidak dapat keluar dengan baik untuk bernafas,” katanya.

Pengarah JHLS, Augustine Tuuga, berkata penyu hijau dan penyu sisik dilindungi sepenuhnya di Sabah dan disenaraikan dalam Schedule 1 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Berikutan itu, katanya anak penyu terbabit disimpan untuk pemerhatian oleh ahli biologi dan Warden Kehormat JHLS di Pusat Rehabilitasi Penyu Pulau Mabul.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *