(VIDEO) Mesteri Ribut Greg Keningau Pada 26 Disember 1996, Ribut Tropika Terburuk Pernah Berlaku Di Sabah

Lapan tahun sebelum tragedi tsunami yang melanda beberapa negeri di utara Semenanjung pada 26 Disember 2004, negara pernah dikejutkan dengan satu malapetaka besar. Berkongsi tarikh sama iaitu 26 Disember, ia berlaku pada tahun 1996.

Dalam kejadian itu, beberapa daerah di Sabah dilanda bencana ribut tropika Greg mengorbankan lebih lebih 200 nyawa. Seramai lebih 100 orang lagi tidak ditemui. Kerugian mencecah RM150 juta.

Antara daerah terjejas ialah Keningau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar. Sebahagian mangsa terkorban dalam banjir dan terperangkap di dalam lumpur yang tebal.

Di kalangan penduduk Keningau yang paling teruk terjejas, tragedi itu masih menjadi tanda tanya. Bencana itu berlaku kira-kira empat jam sahaja dari pukul 5 pagi dan air surut sepenuhnya 9 pagi.

Beberapa hari sebelum kejadian, tiada petanda awal namun hujan lebat menyebabkan air bertakung di puncak Bukit Kimanis yang menjadi latar perkampungan mereka di Kampung Agudon, Kampung Masak, Kampung Contoh, penempatan Tator (Tana Toraja, Indonesia), Kampung Masjid dan Kampung Limbawan.

Malangnya, penduduk tidak tahu tentang kewujudan takungan air itu.

Malah, Sungai Pampang yang mengalir dari bukit itu dan melalui perkampungan mereka juga sempit seperti parit kecil dan cetek. Dalamnya tidak sampai satu meter.

Gambaran penduduk mengenai tragedi itu amat dramatik. Ia seperti air ditakung penuh dalam baldi besar, sebelum dicurah kesemuanya sekaligus!

Pada peringkat awal, air naik mengejut dan surut secara tiba-tiba, sebelum datang arus deras kali kedua bersama batu besar dan kayu balak.

Ia tidak memusnahkan rumah mereka serta-merta, sebaliknya hanyut sebuah-sebuah seperti bahtera besar belayar, sehinggalah sampai ke Jambatan Sungai Pampang iaitu pemisah antara Kampung Masjid dan Limbawan.

Pada masa inilah berlaku perkara pelik. Rumah-rumah yang dihanyutkan itu tidak melepasi jambatan dan jalan yang ditenggelami air.

Sebaliknya ia disedut ke arah bawah jambatan, kemudian dikisar sehingga hancur sebelum memuntahkan serpihan rumah, mangsa, batu dan balak bersama arus deras ke arah Kampung Limbawan.

Keadaan kampung-kampung di Keningau, Sabah yang terjejas akibat ribut yang melanda kira-kira pukul 2 pagi hingga 6 pagi ketika kebanyakan penduduk sedang lena diulit mimpi itu amat mengejutkan.

Usaha untuk mencari dan menyelamat mangsa memang sukar ekoran jambatan yang menghubungkan kawasan itu dengan laluan utama roboh dihanyutkan arus deras.

Operasi menyelamat dijalankan selama lebih dua minggu sebelum dihentikan pada 12 Januari 1997 dengan angka korban dicatatkan melebihi 200 orang, manakala 102 lagi diklasifikasikan hilang sehingga kini.

Ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat, pasukannya tidak menemui mangsa yang masih hidup tetapi hanya jasad tidak bernyawa.

Pasukan lain juga hanya menemui mayat-mayat mangsa di sepanjang tebing sungai di sekitar kawasan berkenaan selepas dihanyutkan arus deras.

Keadaan kawasan perkampungan yang dilanda ribut yang dahsyat itu amat sukar digambarkan dengan kata-kata.

Boleh dikatakan semua yang pernah ada di tanah tersebut dihanyutkan arus ke kawasan sungai dan yang tinggal hanyalah pokok-pokok tumbang dan tapak rumah.

Melihat keadaannya hari ini dengan air jernih mengalir perlahan di celah-celah batu, sukar dipercayai ia pernah meragut kira-kira 300 nyawa dalam tempoh hanya beberapa jam akibat limpahan air dan arus deras.

Tragedi hitam awal pagi pada 26 Disember 1996 itu tidak sempat dielak penghuni rumah berhampiran tebing Sungai Pampang, dengan kebanyakan mereka masih tidur. Tiada siapa yang dapat menduga, rumah yang dianggap kukuh, hanyut sekelip mata.

Hari ini, hanya saiz yang membezakan keadaan Sungai Pampang, dengan lebar 10 meter hingga 20 meter berbanding hanya satu meter hingga lima meter sebelum Ribut Tropika Greg.

Tiada lagi penempatan di tebing sungai itu, kecuali beberapa rumah atau pondok dibina pekebun yang mengusahakan kebun sayur di kawasan rizab sungai.

Semak-samun dengan rumput panjang dan rumpun buluh memenuhi tebing Sungai Pampang, selain sampah-sarap dan sisa kumbahan di bahagian hilirnya.

Hanya jambatan Sungai Pampang berhampiran Kampung Limbawan, yang menghubungkan pekan ini dengan Tenom tidak terjejas dan masih kukuh hingga hari ini.

Paras Sungai Pampang ketika tragedi itu dianggarkan lebih empat meter kerana hampir menenggelamkan rumah dua tingkat sebelum ia dihanyutkan arus.

Sebelum Ribut Tropika Greg melanda, Sungai Pampang hanyalah sebuah anak sungai dan tiada siapa menyangka ia boleh membawa aliran air yang amat deras dan menghanyutkan rumah serta apa saja berhampiran tebing sungai.

Ketika itu, kebanyakan penduduk tempatan yang mendirikan rumah berhampiran Sungai Pampang tiada di rumah kerana balik kampung merayakan Krismas dan yang tinggal ketika itu hanyalah warga Indonesia yang bekerja di sini.

Persoalan dari mana air yang terlalu banyak hingga melimpahi tebing Sungai Pampang, seperti ditimpa empangan pecah, masih menjadi misteri.

Ada cerita tersebar ketika itu, kononnya beberapa hari sebelum kejadian, ada orang tua datang ke sebuah rumah berhampiran Sungai Pampang yang sedang mengadakan keramaian untuk meminta air, namun penghuninya tidak mengendahkannya, malah mengejeknya pula.

Orang tua itu kemudian menjawab akan memberikan air yang banyak jika benar penghuni di rumah itu tiada air maka, terjadilah limpahan air yang sangat banyak di Sungai Pampang hingga menyebabkan banyak kerosakan dan kehilangan nyawa.

Berdasarkan pemantauan di hulu Sungai Pampang di Banjaran Crocker selepas kejadian, ada kesan takungan air di tanah tinggi itu akibat hujan berterusan berikutan pembentukan siklon tropika di Laut China Selatan, kemudian dikenali sebagai Ribut Tropika Greg.

Hujan berterusan beberapa hari sebelum kejadian menyebabkan jumlah air bertakung di kawasan terbabit bertambah sebelum `pecah’ dan melimpahi Sungai Pampang pada 26 Disember 1996 dan surut kira-kira empat jam kemudian.

Banyak nyawa terkorban dalam tragedi ini dan ratusan penduduk juga dikatakan masih tidak ditemui sehingga kini. Penduduk percaya, perkampungan yang terbabit juga menjadi kubur yang tidak bertanda.

Sumber artikel: SentiasaPanas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *