Tapis Semula Penduduk Mendiami PPR Di Sabah

SANDAKAN: Pasukan petugas khas perlu ditubuhkan bagi mengkaji dan menapis semula penduduk yang dibenarkan mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, George Hiew Vun Zin, berkata banyak rumah PPR yang kosong dengan sebahagian besar daripadanya tidak diduduki pemilik selepas mengambil kunci selain ada penduduk yang berpindah tapi tidak memulangkan kunci.

Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting, di Sandakan pada Sabtu lalu menyebabkan 294 orang hilang tempat TINGGAL.

Selain itu, katanya, ada juga kes unit PPR disewakan kepada pihak ketiga selain turut dihuni penduduk yang tidak layak dengan pendapatan isi rumah melebihi RM3,000.

“Saya akan cadangkan ini dalam mesyuarat Kabinet supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kementerian dapat menubuhkan pasukan khas untuk meneliti semula serta menapis penduduk yang tinggal di PPR, sekali gus memastikan hanya yang layak dibenarkan tinggal di rumah itu.

“Bagaimanapun, proses menapis semula penduduk mengikut syarat dan terma yang ditetapkan mungkin mengambil masa agak lama,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Vun Zin berkata, berdasarkan terma dan syarat ditetapkan untuk tinggal di PPR, penghuni cuma dibenarkan tinggal dalam tempoh sekurang-kurangnya enam tahun dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak pernah dititikberatkan sejak dulu menyebabkan ada antara penghuni yang tinggal hingga generasi kedua dan ketiga.

“Ini perlu dilihat semula bagi membolehkan hanya mereka yang layak dibenarkan tinggal di PPR termasuk mangsa bencana seperti kebakaran,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong supaya mangsa kebakaran dalam kawasan Parlimen Batu Sapi ditempatkan segera ke PPR, Vun Zin berkata, kerajaan merancang untuk memindahkan mereka termasuk ke PPR Harmoni, di sini.

Katanya, ada sekurang-kurangnya 200 rumah masih kosong di PPR berkenaan, namun berdepan masalah dokumen serta teknikal dan beliau sudah meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Di Parlimen Batu Sapi, empat kes kebakaran berlaku sejak Mei tahun lalu membabitkan Kampung Gas, Gelam, Air dan terbaharu di Kampung Karamunting. Sekurang-kurangnya 200 keluarga belum memiliki kediaman dan saya sudah minta MPS menyelesaikannya,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan penduduk Kampung Karamunting yang mahu kerajaan membenarkan semula mangsa membina rumah di tapak asal, Vun Zin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting berkata, kemudahan jambatan perlu diukur dan disediakan terlebih dulu, sebelum lot tapak rumah diberi kepada penduduk.

Sabtu lalu, 294 orang membabitkan 67 keluarga hilang tempat tinggal apabila 43 rumah terbakar di Kampung Karamunting dan ia adalah kebakaran kali keenam di kampung itu sejak 1980-an.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *