Anak Gajah Cedera Dengan Kesan Luka Detemui Di Telupid

Anak gajah yang ditemui cedera di Estet Perdana di Telupid kini beransur pulih. FOTO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Anak gajah cedera diselamatkan

SEEKOR anak gajah Pygmy Borneo ditemui cedera dengan kesan luka di belakang badan dan dipenuhi ulat di ladang kelapa sawit di Estet Perdana, Telupid oleh pekerja ladang, pada 22 Mei lalu.

Gajah jantan dianggarkan berusia antara lima hingga tujuh tahun itu ditemui bersendirian dipercayai ditinggalkan kumpulannya selepas tidak dapat berjalan susulan kecederaan dialami.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, anak gajah itu masih dirawat oleh pegawai veterinar di ladang berkenaan dan beransur pulih dengan selera makan yang bertambah baik.

Katanya, tiada perancangan untuk memindahkan anak gajah berkenaan ke Santuari Gajah Borneo (BES) di Kinabatangan, sebaliknya akan dibebaskan semula ke hutan apabila pulih sepenuhnya.

“Kita tidak akan pindahkan ke BES, sebaliknya akan bebaskan semula ke hutan apabila sihat.

“Setakat ini, anak gajah semakin aktif, mempunyai selera makan yang baik dan menjalani pemeriksaan berterusan. Ia juga diberi lebih banyak makanan, air, dimandikan dan lukanya dibersihkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Augustine berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti punca haiwan terbabit cedera.

“Kita tidak tahu punca kecederaan sama ada ditembak atau sebaliknya. Tiada kelongsong peluru dijumpai di lokasi berhampiran (anak gajah ditemui),” katanya.

Augustine berkata, ketika ini juga, ada sekumpulan gajah berkeliaran dalam hutan berhampiran Telupid dan ia dipercayai kumpulan haiwan sama yang kerap ke kawasan berkenaan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *