KOTA KINABALU: Bermula hanya sebagai tukang gunting kain di kedai jahitan bekas majikannya, Norhayati Ajirul, 46, menimba kemahiran menghasilkan busana tradisi masyarakat Kadazandusun.
Malah, beliau menerima banyak tempahan sejak menceburi bidang itu secara serius sejak empat tahun lalu, terutama menjelang Pesta Kaamatan, antara sambutan perayaan etnik terbesar di Sabah.
Berketurunan Bajau dan berasal dari Kudat, Norhayati mula bekerja sebagai jurujual di kedai kosmetik dan bengkel jahitan pada 1999, malah sering membantu majikannya ketika itu memotong kain untuk dijadikan pakaian tradisi.
Minat mendalam terhadap koleksi pakaian tradisi masyarakat itu mendorongnya berhenti kerja sebagai jurujual pada 2014 untuk menceburi bidang jahitan secara serius, termasuk mengusahakan kedai jahitnya sendiri.
“Rekaan unik dan berwarna-warni membuatkan saya cukup tertarik kepada koleksi pakaian tradisi, terutama masyarakat Kadazandusun. Justeru, bila diberi peluang membantu majikan memotong dan menjahit baju tradisi, ia makin menambah minat itu.
“Saya tidak belajar secara formal, cuma sekadar menimba pengalaman dan kemahiran daripada bekas majikan. Ini yang mendorong minat saya untuk menceburi perniagaan kedai jahitan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Ibu kepada empat cahaya mata berusia 16 tahun hingga 29 tahun itu, berkata baju tradisi Kadazandusun yang dijahit dan dijual di kedainya turut mendapat sambutan daripada pelancong luar, termasuk dari Filipina dan Jerman.
“Saya membuat baju tradisi masyarakat Kadazandusun antaranya dari Penampang, Papar, Tambunan dan Kota Belud. Selain baju tradisi Kadazandusun, saya juga pandai membuat baju tradisi masyarakat Bajau,” kata nenek kepada lima cucu ini.
Mengenai tempahan diterima pada Pesta Kaamatan tahun ini, Norhayati berkata beliau menerima puluhan tempahan baju tradisi sejak Mac lalu sebelum tibanya musim Pesta Kaamatan yang diraikan pada setiap Mei.
Katanya, walaupun permintaan baju tradisi seumpama itu sentiasa diterima sepanjang tahun, namun ia meningkat apabila menjelang perayaan yang disambut bagi menghormati semangat padi itu.
“Syukur, tahun ini ada peningkatan (tempahan). Lebih 50 helai ditempah, malah saya juga menjual pelbagai baju tradisi siap yang boleh terus dibeli pelanggan. Pada Pesta Kaamatan kali ini, saya banyak menerima tempahan untuk baju tradisi suku kaum Dusun Tindal Kota Belud iaitu Sinipak dan baju tradisi Murut.
“Biasanya, untuk menyiapkan satu baju tradisi ia akan mengambil masa kira-kira seminggu. Upah upah menjahit atau membeli baju siap adalah sama, namun sekiranya pelanggan membeli pakaian siap, tawar-menawar harga masih boleh dibuat,” katanya.
Norhayati berkata, harga baju tradisi pula adalah RM300 hingga lebih RM1,000 sehelai bergantung rekaan. – Berita Harian