Sabah perlu capai RM60 bilion sumbangan sektor pembuatan


TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau hadir pada Majlis Apresiasi Komuniti Ekonomi 2019, Jabatan Perangkaan, di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Sumbangan sektor pembuatan Sabah perlu ditingkatkan kepada RM60 bilion setahun menjelang tahun 2030 bagi mencapai sasaran meningkatkan sumbangan sektor itu kepada 35 peratus dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau, berkata ketika ini sektor pembuatan hanya menyumbang 7.3 peratus kepada KDNK Sabah menyebabkan negeri ini masih ketinggalan dari segi pertumbuhan ekonomi selain berdepan masalah peluang pekerjaan yang terhad.

Beliau berkata, bagi merancakkan ekonomi negeri, sumbangan sektor pembuatan perlu ditingkatkan menerusi pelbagai pendekatan nilai tambah aktiviti ekonomi sedia ada, selain menarik kemasukan pelaburan luar untuk membuka industri berpotensi.

“Jika sektor industri atau pembuatan menyumbang kurang 30 peratus kepada KDNK sesuatu tempat, ia menunjukkan ekonominya lemah. Jadi kita perlu sekurang-kurangnya 35 peratus sumbangan sektor ini jika mahu melihat ekonomi kita kuat.

“Bagaimanapun, untuk mencapainya kita perlu memastikan sumbangan sektor ini ditingkatkan kepada RM6 bilion setiap tahun supaya dalam tempoh 10 tahun akan datang ia boleh menyumbang RM60 bilion setahun,” katanya pada Majlis Apresiasi Komuniti Ekonomi 2019, Jabatan Perangkaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pengarah Jabatan Perangkaan negeri, Norhayati Jantan.

Pada majlis itu, seramai 32 wakil syarikat menerima sijil pembabitan dalam kajian pembuatan dan penyiasatan perdagangan dijalankan Jabatan Perangkaan.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, berkata walaupun mengakui berdepan kesukaran untuk mencapai sasaran itu, kerajaan negeri tetap komited untuk memastikan sektor pembuatan dibangunkan bagi merancakkan ekonomi negeri.

Katanya, berdasarkan pencapaian pada tahun 2017, Sabah mencatat KDNK berjumlah RM92.7 bilion dengan sektor perkhidmatan sebagai penyumbang terbesar (39.9 peratus), diikuti sektor perlombongan dan kuari (31.3 peratus) dan sektor pertanian (18.7 peratus), manakala sektor perindustrian sebagai penyumbang terendah dengan 7.3 peratus.

Beliau berkata, banyak faktor menyebabkan sektor perindustrian di Sabah kurang berkembang termasuk kos menjalankan aktiviti industri yang tinggi, selain pencapaian aktiviti pelabuhan yang masih rendah, namun usaha menanganinya sedang giat dilaksanakan kerajaan.

Langkah diambil kerajaan, katanya termasuk mengharamkan eksport kayu balak dan menggalakkan pembangunan aktiviti hiliran berasaskan sumber itu termasuk menjadikan Sandakan sebagai hab pembuatan perabot adalah antara usaha ke arah menjadi negeri industri.

“Kita perlu meningkatkan aktiviti nilai tambah untuk meningkatkan sumbangan sektor pembuatan. Sejak tahun 1960-an, ekonomi Sabah lebih tertumpu kepada pengeluaran hasil seperti kayu balak dan ketika itu kita dilihat sebagai negeri yang kaya.

“Bagaimanapun, apabila kayu balak sudah habis ekonomi kita juga jatuh dan sebab itu bandar Sandakan sekarang menjadi sunyi. Dulu Sandakan maju kerana aktiviti kayu balak tetapi sekarang sudah tiada dan ia adalah antara kesan yang kita alami sekarang,” katanya.

Sementara itu, katanya rakyat negeri ini terpaksa menerima hakikat bahawa Sabah masih ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi berdasarkan catatan perkapita negeri ketika ini iaitu hanya RM23,000 setahun berbanding RM42,000 setahun di peringkat nasional. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *