Tidak Ada Kebenaran Penanaman Guarana Di Sabah – Junz Wong

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) Datuk Junz Wong berkata, setakat ini Kementerian belum ada kebenaran penanaman Guarana sehingga kajian tanaman tersebut dilaksanakan di Sabah untuk menilai potensi tanaman tersebut untuk dikembangkan.

Pada ketika ini, Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian tidak pernah meluluskan permohonan permit mengimport benih Guarana ke Sabah.

Oleh itu, sebarang penanaman Guarana di Sabah merupakan kemasukan benih secara haram, tambah Menteri berkenaan.

Datuk Junz berkata demikian dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Menjawab soalan mengenai tanaman Guarana Junz menyatakan, “kementerian saya mendapat banyak pertanyaan orang awam sama ada guarana dibenarkan di Sabah.”

YB Datuk Junz menunjuk teks ucapan penggulungan beliau ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah

“Buat masa ini, guarana tidak termasuk dalam kategori tanaman yang dipromosi sebagai penjana ekonomi.”

“Mana-mana tanaman baharu yang akan diperkenalkan perlu melalui proses penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C).”

“Tanaman guarana perlu menjalani R&D&C terlebih dahulu sebelum dikomersilkan. Tanaman guarana adalah jenis tanaman baharu di negeri ini, dan belum dikenalpasti potensinya.” Tambah Menteri berkenaan.

Junz menegaskan bahawa Akta kuarantin 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, kawasan komponen Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah menetapkan prosedur untuk membawa masuk Guarana yang mana tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan wajib mendapat Import Permit Tumbuhan.

Brazil tersenarai sebagai high risk country yang mana negara ini adalah kawasan endemic Penyakit South American Leaf Blight yang disebabkan oleh fungi Microcyclus ulei.

Penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan yang amat serius terhadap tanaman getah, maka proses membawa masuk Guarana dari Brazil perlu melalui proses yang telah ditetapkan sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Datuk Junz menekankan bahawa kelulusan pengimportan Guarana tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

1. Pemeriksaan Verification of Compliance (VOC) dan rawatan kuarantin di Brazil dan negara transit (negara bukan pengeluar getah) selaras dengan garis panduan standard antarabangsa iaitu International Standards for Phytosanitary Measures 20 (ISPM 20);

2. Sijil fitosanitasi (PC) dari negara asal iaitu Brazil dan sijil fitosanitasi eksport semula (re-export PC) dari negara transit;

3. Pemeriksaan oleh Pegawai Pemeriksa atau Pegawai Penguatkuasa di pintu masuk; dan

4. Syarat kuarantin selepas masuk (Post Quarantine) untuk tempoh 6 bulan di premis yang diluluskan oleh Pengarah Pertanian Negeri Sabah.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai sekiranya mempunyai keraguan dan memerlukan pencerahan berhubung tanaman Guarana hendaklah merujuk terus kepada Jabatan Pertanian Sabah,” nasihat Junz. – BorneoToday

113