RM1.5 Juta Demi Lindungi Hidupan Liar Di Sabah

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Datuk Dr Kalyana Sundram menyerahkan replika cek bernilai RM1.5 Juta kepada Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Augustine Tuuga sambil disaksikan oleh Datuk Shafie Apdal, Teresa Kok dan Christina Liew pada Selasa di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi sepenuh komitmen dalam memastikan spesis hidupan liar yang dilindungi di Sabah dijaga dengan baik disamping membangunkan sektor perladangan sawit.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, disamping menyokong usaha Kementerian Industri Utama (MPI) dalam Kempen ‘Sayangi Sawitku’, kerajaan akan turut melindungi hidupan liar seperti gajah pygmy borneo dan Orang Utan.

Usaha melindungi hidupan liar ini akan terus dipergiatkan dengan adanya peruntukan berjumlah RM1.5juta yang diberikan melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

”Melalui dana itu, MPOC akan melakukan pemantauan terhadap gajah pygmy borneo dan Orang Utan bagi mendapatkan pangkalan data yang mencukupi agar usaha melindungi hidupan liar di peringkat negeri Sabah dapat dilakukan dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas menerima Kunjungan Hormat Menteri Industri Utama Teresa Kok, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Selasa.

Dr Kalyana Sundram, kiri, menyerahkan surat hasrat kepada Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Jaini.

Dalam majlis itu, Mohd Shafie turut menyaksikan acara menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara MPOC dengan Jabatan Perhutanan Sabah dan Majlis Penyerahan Cek bernilai RM1.5juta kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan badan lain untuk memastikan usaha melindungi hidupan liar ini dapat dipertingkatkan.

“Kerajaan juga mengambil langkah drastik dengan mengurangkan penebangan kayu kayan yang berada dalam kawasan hutan dilindungi sepenuhnya (TPA). Ini membolehkan Sabah mencapai 30 peratus kawasan TPA menjelang 2025,” jelasnya.

Mengenai pertemuan dengan Teresa itu, Mohd Shafie berkata, usaha itu akan membantu meningkatkan daya upaya kerajaan dalam memastikan nasib pekebun kecil dalam sektor perladangan sawit dibela sebaik mungkin.

”Apa juga naratif (gambaran) yang dikatakan orang luar akan cuba diatasi agar langkah memastikan industri ini dipertingkatkan dapat dilakukan,” ujarnya.

Datuk Shafie Apdal, Teresa Kok dan Datuk Christina Liew

Katanya, Sabah mempunyai kawasan perladangan sawit yang terbesar di Malaysia maka, penghasilan produk komoditi ini akan terus dipertingkatkan agar ianya mampu memberikan hasil yang baik kepada negeri dan negara ini.

Sementara itu, Teresa berkata, LoI yang dimeterai antara MPOC dan Jabatan Perhutanan Sabah itu akan membolehkan program penanaman sejuta pokok dapat dilakukan dalam tempoh 10 tahun ini.

Katanya, penanaman pokok itu akan dilakukan di kawasan seluas 6,600 hektar yang meliputi kawasan Ulu Kawag dan Hutan Simpan Ulu Segama di Lahad Datu.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Ketua Setiausaha MPI Datuk Dr Tan Yew Chong, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Datuk Dr Kalyana Sundram, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Agustine Tuuga dan Ketua Konservator Hutan Datuk Mashor Mohd Jaini. – BorneoToday

121