Filipina Kekal Pendirian Tuntut Sabah, Duta Filipina

Charles (tiga kiri) bersama delegasi Pejabat Kedutaan Filipina di Malaysia bergambar bersama Mohd Shafie (tiga kanan) serta pegawai yang lain – Gambar BorneoToday

KOTA KINABALU: Walau isu tuntutan terhadap Sabah tidak dilakukan secara aktif namun, Kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutan mereka terhadap Sabah.

”Pada masa ini, kedutaan bekerjasama rapat dengan Sabah untuk menangani isu yang membabitkan kedua-dua negara.

”Biarpun tuntutan terhadap Sabah belum digugurkan tetapi, tuntutan itu tidak dilakukan secara aktif,” katanya Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu tuntutan Filipina terhadap Sabah yang sudah berlarutan begitu lama.

Katanya, buat masa ini Kerajaan Filipina memberi fokus untuk membantu warga Filipina yang berada di Sabah.

Gambar BorneoToday

Mengenai langkah mewujudkan Pejabat Konsul Jeneral Filipina di Sabah, Charles berkata, isu itu sedang dibincangkan di Manila.

Katanya, kedutaan akan melaksanakan apa sahaja yang diputuskan di Manila.

Ditanya tentang langkah Sulu yang menolak untuk menyertai langkah mewujudkan Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro (BARMM), Charles berkata majoritinya mengundi untuk mengambil bahagian dalam BARMM.

”Maka, kami tidak melihat tindakan pengecualian Sulu itu sebagai satu masalah. Mereka mengundi untuk tidak menyertainya. Kes itu sudah dibawa kepada Mahkamah Tinggi kerana terdapat satu peruntukan yang menyatakan wilayah yang menyertai Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) secara tidak langsung perlu mengambil bahagian dalam BARMM,” jelasnya.

Charles berkata, penubuhan BARMM itu diharap akan membawa keamanan dan pembangunan ekonomi di Selatan Filipina.

Gambar BorneoToday

Katanya, dengan kewujudan BARMM itu, mereka dapat mengenepikan ancaman jenayah yang sering berlaku seperti penculikan untuk wang tebusan dan penyeludupan.

Pada 21 Januari lalu, hampir 3 juta penduduk Islam di Mindanao, Filipina iaitu wilayah bergolak yang lebih dikenali Bangsamoro menunai tanggungjawab pungutan suara yang bakal menentukan masa depan mereka.

Pungutan suara tersebut adalah untuk menentukan sama ada mereka menerima atau sebaliknya, Perundangan Organik Bangsamoro (BOL) yang akan membentuk wilayah BARMM. – BorneoToday.Net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *