Sabah kenal pasti pelabur, kini rancang misi pelaburan ke China – Madius

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 17 Feb – Kerajaan Sabah sedang merancang misi perdagangan dan pelaburan ke China memandangkan beberapa pelabur dari negara itu telah dikenal pasti, menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri berkata, misi itu akan diketuai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selain disertai wakil kerajaan persekutuan.

“Dalam misi tersebut kita akan melawat beberapa tempat dan berjumpa dengan beberapa pelabur. Oleh itu kita berharap melalui misi ini kita dapat membawa pelabur ke Sabah.

“Sebenarnya terdapat pelabur yang telah mengadakan banyak perbincangan dengan kita, namun kita juga mahu mempertahankan beberapa perkara, ada terma dan syarat yang perlu mereka patuhi termasuk dari segi harga tanah dan sumber lain seperti pasir hendaklah bertepatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Angpau Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Penampang, di sini, malam ini.

Madius berkata kehadiran pelabur luar termasuk dari China, akan meningkatkan jumlah pengendalian kontena dari negeri ini sekali gus menarik minat pengendali perkapalan utama untuk beroperasi di Sabah.

“Ia sudah sekian lama menjadi cabaran bagi Sabah kerana kita tidak berjaya menarik pengendali perkapalan utama ke negeri ini kerana  jumlah pengendalian kontena yang tidak memberangsangkan.

“Setakat ini kita hanya mengendalikan kira-kira 330,000 kontena setahun dan pengendali perkapalan utama hanya akan datang (beroperasi) di Sabah sekiranya kita dapat mengendalikan lebih 500,000 kontena setahun,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, kerajaan pusat perlu membantu pelabur tempatan demi memacu ekonomi di negeri ini.

“Saya telah melawat Korea Selatan baru-baru ini dan melihat ekonomi mereka berkembang begitu pantas dan mendapati semua itu dipacu oleh industri tempatan dengan bantuan yang begitu kukuh daripada pihak kerajaan. Oleh itu perkara ini perlu kita kaji di peringkat negeri Sabah,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *