Penjaja rayu lot berniaga di tamu Sandakan

Beberapa penjaja menggunakan tempat letak motosikal untuk menjual hasil tangkapan serta pertanian mereka.

SANDAKAN: Penjaja dari sekitar pulau di daerah ini berharap Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mempertimbangkan permohonan mereka mendapatkan lot berniaga di tamu mingguan di bandar Sandakan.

Ketiadaan lot berniaga menyebabkan penjaja terpaksa menggunakan tempat letak motosikal, selain kaki lima kedai untuk menjual hasil tangkapan serta pertanian mereka.

Penjaja, Ubainah Albani, 47, berkata keadaan itu bukan saja menimbulkan rasa kurang selesa terhadap pengunjung, malah penjaja berdepan dengan tindakan diusir oleh penguat kuasa pada bila-bila masa.

Katanya, ketiadaan lot berniaga juga menyebabkan penjaja terdedah kepada cuaca panas atau hujan.

“Musim tengkujuh seperti sekarang, kami terpaksa berhujan. Jika ada lot berniaga, kami boleh pasang kanopi dan pengunjung pun lebih selesa.

“Ketiadaan lot berniaga bukan saja mengganggu laluan kereta, tempat letak motosikal dan kaki lima kedai, malah pada bila-bila masa kami boleh diusir dan barangan jualan dirampas,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Tinjauan di tamu mingguan itu mendapati, lebih 20 penjaja yang kebanyakannya dari pulau sekitar daerah ini termasuk Pulau Nunuyan dan Tanjung Aru menjual hasil tangkapan laut serta hasil pertanian di kaki lima kedai sehingga mengganggu laluan pejalan kaki dan kenderaan.

Sementara itu, Isnirah Aspal, 45, berkata mereka berniaga di tamu sejak lebih dua tahun lalu dan pernah memohon kepada MPS bagi mendapatkan lot berniaga, namun sehingga kini tiada kelulusan diberi.

“Jika boleh, biarlah kami diberi lot berniaga dan lorong baharu dibuka untuk penjaja dari pulau. Biarpun dikenakan cukai seperti peniaga lain, kami sanggup membayar kerana cuma berniaga empat kali sebulan.

“Tambahan lagi, tamu cuma sehari iaitu pada Ahad. Tiada salahnya satu lagi lorong ditutup untuk setengah hari saja bagi memberi peluang penjaja dari pulau berniaga,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *