LRT Antara Pilihan Terbaik Atasi Kesesakan Lalu Lintas Di Sabah – Mohd Shafie

KOTA KINABALU — Sistem pengangkutan berkapasiti tinggi seperti Transit Aliran Ringan (LRT) merupakan antara pilihan terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Sabah untuk jangka masa panjang meskipun melibatkan kos pelaburan tinggi.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kajian yang dibuat Bank Dunia dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi dan Pejabat Perdana Menteri mendapati bandaraya Kota Kinabalu lebih sesuai diperkenalkan dengan sistem pengangkutan berkapasiti tinggi berbanding bandaraya Kuala Lumpur.

“Sistem pengangkutan berkapasiti tinggi ini juga bakal memacu perubahan landskap bandaraya Kota Kinabalu dengan kapasiti penumpang tinggi; moden; sistematik; tepat masa dan mesra alam,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Mohd Shafie berkata pengangkutan awam moden seperti LRT juga dilihat mampu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah pengguna kenderaan untuk menggunakan perkhidmatan itu sekali gus meningkatkan lagi kualiti kehidupan penduduk di bandaraya Kota Kinabalu.

Dalam pada itu katanya kajian kebolehlaksanaan Bas Rapid Transit (BRT) di bandaraya Kota Kinabalu mendapati sistem perkhidmatan pengangkutan awam itu tidak begitu sesuai dilaksanakan berikutan ia hanya penyelesaian jangka pendek dalam mengatasi kesesakan lalu lintas.

“Selain itu, ia juga akan melibatkan perbelanjaan modal tinggi kerana BRT memerlukan jaringan jalan raya khas untuk bas jika ia dilaksanakan di bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Mengenai Terminal Bas KK Sentral, Mohd Shafie berkata, ia belum dapat beroperasi sepenuhnya seperti dalam perancangan penambahbaikan jaringan pengangkutan awam bandaraya Kota Kinabalu kerana terminal bas lain iaitu Terminal Bas Bersepadu Utara Inanam dan Terminal Bas Bersepadu Selatan Kepayan belum dilaksanakan.

Selain itu, bangunan Terminal Bas KK Sentral juga tidak dapat digunakan buat masa ini kerana kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilaksanakan sebelum penjaja dari Pasar Kraftangan Kota Kinabalu dipindahkan ke bangunan itu.

“Mereka (penjaja) dijangka dipindahkan (ke bangunan KK Sentral) selewat-lewatnya Mei tahun hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri sedang menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai garis panduan menyelaras tindakan agensi kerajaan dan peniaga terlibat dalam sistem perniagaan tukar barang di Sabah.

“SOP ini bertujuan memudahkan kawalan keselamatan agar perdagangan tukar barang dapat dilakukan dengan seragam dan selaras demi melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah selain akan dapat menghalang penyusupan masuk penduduk asing ke Sabah,” katanya.

Pada bulan Oktober lepas, kerajaan negeri mengumumkan sistem perniagaan tukar barang antara negara jiran yang dihentikan atas faktor keselamatan sebelum ini, akan mula kembali beroperasi pada 1 Jan 2019.

– BERNAMA

540