Hukuman berat, gantung lesen terhadap penangkapan ikan guna kaedah haram

KOTA KINABALU, 24 Okt – Menteri Pertanian dan Industri Makanan  Sabah  Datuk  Junz Wong menasihatkan nelayan supaya mematuhi kaedah penangkapan ikan yang sah di sisi undang-undang kerana  jika ingkar mereka bakal berhadapan hukuman yang berat termasuk lesen menangkap ikan mereka digantung atau ditamatkan.

Wong mengeluarkan amaran itu terhadap bot pukat tunda haram dan nelayan yang tidak bertanggungjawab menggunakan bom untuk menangkap ikan.

Pada masa yang sama, beliau menggesa pihak penguat kuasa untuk melaksanakan pemeriksaan secara rawak terhadap pukat yang digunakan bot nelayan untuk tangkapan ikan seharian, terutamanya  aktiviti  menangkap ikan laut dalam.

Beliau berkata lesen operasi bot nelayan yang didapati menggunakan alat dan pukat menangkap ikan yang tidak dibenarkan akan digantung.

“Kementerian sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen menangkap ikan nelayan tradisional dengan syarat menggunakan kaedah menangkap ikan  tradisional  untuk  melindungi  sumber  perikanan negeri daripada pupus kerana aktiviti menangkap ikan yang tidak bertanggungjawab.

Mulai sekarang nelayan yang tidak bertanggungjawab terutama yang mengebom ikan, sekali ditangkap mereka  akan dikenakan hukuman berat,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wong berkata kementerian itu serius dalam menangani isu ini, kerana kaedah mengebom ikan  merosakkan   ekosistem habitat hidupan marin.

“Menggunakan jaring atau pukat yang tidak mengikut ukuran dan peraturan yang ditetapkan, mempercepatkan kepupusan sumber marin kita,” katanya.

-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *