Saya Akan Keluar Jika Dibuktikan Warisan Beri Kad Pengenalan Kepada PTI : Darell

PENAMPANG: Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking menegaskan akan keluar dari parti berkenaan jika dakwaan Parti Warisan (Warisan) memberikan dokumen pengenalan dan kerakyatan kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) adalah benar.

Namun, katanya, pihak tertentu mahupun pembangkang perlu menunjukkan bukti sahih kepada beliau melalui medium yang betul dan bukan menularkan melalui laman sosial Facebook mahupun Whatsapp.

“Tolong tunjukkan bukti dan kita sama-sama pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

“Warisan sering dituduh bahawa parti ini memberikan kad pengenalan kepada PTI.

“Jika kamu dapat bukti bahawa Warisan telah memberikan kad pengenalan PTI, saya sendiri akan keluar daripada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Pendidikan 2018 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA hari ini.

Darell menyeru agar menghentikan pembohongan yang ditularkan dan berhenti untuk menjatuhkan kerajaan masa kini yang cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah tersebut.

“Hentikan wujudkan masalah pada parti anda dan yang anda sokong.

“Kerajaan ini baru berusia lima bulan lebih, dan kami cuba sebaik mungkin untuk memperbetulkan apa yang sudah terjadi sebelum ini di dalam kepimpinan kerajaan lama,” tambahnya.

Katanya, pemberian kad pengenalan kepada PTI sudah wujud sejak kepimpinan kerajaan terdahulu.

“Projek pemberian kad pengenalan kepada PTI ini berlaku sebelum Warisan mengambil alih kerajaan Sabah dan ia sudah terang dalam Suruhanjaya diRaja (RCI).

“Kami di kerajaan baru cuba sedaya upaya mengeluarkan Sabah daripada penderitaan yang dialami sebelum ini.

“Namun, jika pihak pembangkang memperoleh bukti kukuh dan membuat laporan polis, saya akan menjadi orang pertama yang melangkah bersama kamu dalam isu ini,” jelasnya.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *