Isu permohonan IMM13 diluar pengetahuan kerajaan Sabah – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 13 Okt – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan isu penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak pemegang dokumen IMM13 adalah di luar pengetahuan kerajaan negeri memandangkan perkara tersebut dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia, sebuah jabatan di bawah kerajaan Pusat.

Mohd Shafie berkata beliau terkejut selepas mendapat tahu mengenai perkara itu dan mengarahkan supaya penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak mendapatkan dokumen IMM13 daripada ibu bapa pemegang dokumen IMM13 dihentikan serta merta.

“Kami (kerajaan negeri) tidak mengetahui (penerimaan permohonan anak-anak pemegang dokumen IMM13). Ketika saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan dua-tiga hari lalu, isu ini tidak ada disentuh mahupun dibincangkan kerana kami hanya membincangkan bagaimana cara terbaik untuk meningkatkan keselamatan di persempadanan negeri.

“Saya terkejut dan mengetahui (isu itu) ketika berada di Kuching, Sarawak. Saya serta merta mengarahkan mereka supaya menghentikannya (penerimaan permohonan anak-anak pemegang dokumen IMM13) kerana perkara ini di luar pengetahuan kami (kerajaan Sabah),” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas isu penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak pemegang kad IMM13 di Sabah dan Labuan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-15 di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia Sabah menghentikan penerimaan permohonan pendaftaran anak-anak untuk mendapatkan dokumen IMM13 daripada ibu bapa pemegang dokumen IMM13 berkuat kuasa serta-merta (12 Okt) di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan orang ramai dipercayai warga asing membanjiri Pejabat Unit Khas Jabatan Imigresen di Wisma Dang Bandang, dekat sini, seterusnya mengundang pelbagai persepsi yang mendakwa pemberian dokumen itu memudahkan mereka mendapat kad pengenalan sebagai warga tempatan.

Untuk rekod, pendaftaran dokumen IMM13 telah dihentikan sejak 2013, yang mana, dokumen itu dikeluarkan kepada warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada tahun 1970-an dari negara asal mereka di selatan Filipina ekoran krisis politik di wilayah selatan negara itu.

Mohd Shafie berkata isu berkaitan permohonan IMM13 juga tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet negeri selain turut memberi komitmen untuk mengatasi masalah berkaitan IMM13 secara baik sekali gus memastikan isu seumpama itu tidak berlaku lagi di masa hadapan.

Beliau berkata permohonan dokumen pengenalan diri membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak seharusnya dilayan sebaliknya mereka perlu dihantar semula ke negara asal mereka kerana kerajaan telah membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menempatkan PATI di Rumah Merah.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga mahu satu pendekatan proaktif dan efisien diambil dalam menangani isu rakyat tempatan Sabah terutamanya di kawasan pedalaman yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mahu kuasa kerajaan Pusat dalam mengendalikan pendokumentasian pengenalan diri khususnya bagi rakyat Sabah dipindahkan kepada kuasa kerajaan negeri bagi membolehkan isu PATI di negeri itu dapat diatasi secara tuntas.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *