BN Sabah Mahu Bertanding 40 Kerusi, Tolak GRS Hadapi PRN

Bung Moktar

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menyatakan kesediaan untuk bertanding sekurang-kurangnya 32 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata sasaran keseluruhan yang akan ditandingi sebanyak 40 kerusi tanpa sebarang kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, BN Sabah akan bertanding secara satu lawan satu atau dalam pertembungan pelbagai penjuru menentang GRS sehingga 25 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kami sudah jalankan beberapa simulasi dan latihan jentera di kawasan yang dikenal pasti. Jentera BN mantap dan bersedia hadapi saingan pelbagai penjuru,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag.

Bung Moktar berkata, kerusi yang disasarkan adalah majoritinya di kawasan luar bandar dan separa bandar yang pernah ditandingi BN pada pilihan raya 2020.

“Saya jangka banyak kerusi akan menyaksikan pertandingan enam atau tujuh penjuru. Tidak mengapa, semua orang rasa mereka boleh menang.

“Saya yakin dengan kekuatan akar umbi kami. Inilah cara terbaik untuk selesaikan segalanya,” katanya kepada media, semalam.

Dalam masa sama katanya, komponen BN, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dijangka bertanding di kawasan pedalaman seperti Keningau yang mempunyai pengundi Bumiputera bukan Islam, manakala Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih kuat di kawasan bandar dan majoriti Cina.

Menurutnya, rundingan dengan PH berjalan lancar dan beliau yakin pembahagian kerusi akan dapat dilakukan dengan baik.

“Mereka (PH) adalah rakan kerjasama yang baik. Tiada isu besar antara kami dan mereka kuat di kawasan bandar,” katanya

Pendekatan ini dilihat bercanggah dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menyatakan hasrat agar kerjasama tiga penjuru antara PH, BN dan GRS dapat diteruskan di Sabah, seperti model kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Namun, hubungan antara UMNO dan GRS di Sabah retak selepas krisis politik pada Januari 2023, sekali gus menamatkan kerjasama yang terjalin sejak PRN 2020.

Mengulas lanjut, Bung Moktar mendakwa GRS sering mengingkari perjanjian termasuk meletakkan calon di kerusi yang telah dipersetujui menjadi milik BN serta meminggirkan UMNO dalam pentadbiran negeri.

“Saya sendiri alami perkara itu semasa jadi Menteri Kerja Raya Negeri. Banyak cadangan dan peruntukan saya disekat, tetapi kementerian yang dikuasai GRS berjalan seperti biasa,” katanya.

Akibat krisis itu, Bung digugurkan daripada Kabinet Negeri dan digantikan oleh Datuk Shahelmey Yahya, antara lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji ketika cubaan menjatuhkan kerajaan GRS.

Justeru, Bung Moktar menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama masa depan dengan GRS hanya akan dibincangkan selepas pilihan raya, jika perlu.

“Biarlah rakyat yang menentukan. Lepas itu, kalau perlu berbincang semula, kita tengok keadaan,” katanya.

Pada PRN 2020, BN bertanding di 32 kerusi dan menang 14, manakala BERSATU ketika itu di bawah Perikatan Nasional (PN) menang 11 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan GRS bersama BN. Namun, pertembungan sesama sendiri antara komponen GRS dan BN berlaku di sekurang-kurangnya 17 kerusi.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *