Vaksin COVID-19: Teladani Penduduk Pedalaman Kampung Long Pasia

Ketua Kampung Long Pasia, Yakub Sim (kiri) dan Elsyana Frederick (kanan)

SIPITANG, 26 Jun : Walaupun menetap jauh di pedalaman di kawasan tanah tinggi Malingan pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut, namun kefahaman yang baik penduduk Kampung Long Pasia mengenai kepentingan vaksin COVID-19 bagi melindungi komuniti mereka harus diteladani semua.    

Meskipun serba-serbi kekurangan dari segi infrastruktur termasuk akses Internet, bukan penghalang kepada pemimpin masyarakat setempat dan penduduk Kampung Long Pasia sendiri untuk berusaha memastikan komuniti mereka faham kepentingan vaksin ini. 

Ketua Kampung Long Pasia, Yakub Sim mengakui pada awalnya penduduk kampung itu sememangnya kurang yakin dengan vaksin terutama mengenai kesan sampingannya sehingga mendorong beliau turun padang menjelaskan perkara itu.         

“Penduduk kampung ada terpengaruh dengan maklumat palsu berkenaan vaksin yang disebar orang tidak bertanggungjawab. Ada kata lepas jarum (selepas disuntik) boleh cepat meninggal dunia dan boleh jatuh sakit teruk, tetapi saya bersama beberapa orang kampung lain cuba faham betul-betul perkara ini.

“Banyak agensi kerajaan tolong kami seperti Kementerian Kesihatan, jadi kami betul-betul faham, kemudian kami usaha terangkan kepada orang kampung lain dan orang kerajaan pun sama-sama kami bantu terangkan, syukur ramai sudah percaya dan ambil vaksin,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau ditemui pada program ‘Jiwa Murni, Army Combat Medic Vaccination Programme’ iaitu program kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Sabah di perkampungan pedalaman itu selama dua hari berakhir semalam bagi memberi 500 dos vaksin kepada penduduk.

Kampung Long Pasia terletak di kawasan pedalaman Sabah, kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu dan menempatkan kira-kira 700 penduduk, majoritinya dari etnik Lundayeh dan aktiviti ekonomi utama mereka adalah pertanian terutama padi dan ekopelancongan.

Yakub, 64, berkata walaupun penduduk masih boleh mendapatkan maklumat tentang COVID-19 dan vaksin melalui Internet namun berdepan dengan isu seperti talian Internet tidak stabil disebabkan situasi dihadapi menara komunikasi di kawasan tersebut.

“Ada Internet kerana ada tiang (menara komunikasi) dekat sini tetapi bila tiada minyak sampai (tiba) untuk hidupkan generator, tiang tidak dapat jalan (berfungsi) jadi talian Internet ada masa (ketikanya) bagus ada masa terus tiada… ditambah berita palsu banyak tular di Internet, saya usaha beritahu jangan percaya,” katanya.

Elsyana Frederick,16, berkata beliau berusaha sendiri meyakinkan ibu bapa, keluarga serta penduduk kampungnya untuk mendapatkan vaksin COVID-19 pada program itu selepas mendapat maklumat jelas mengenai vaksin dan COVID-19.

“Saya sekolah di Pekan Sipitang dan banyak dapat maklumat vaksin juga COVID-19 di sekolah terutama guru selain di Internet. Vaksin ini bagus cuma penduduk kampung ada susah sikit mahu percaya, kita terangkan dan jawab soalan mereka, jika tidak dapat jawab kami rujuk petugas kesihatan,” katanya.

Beliau berkata semangat melindungi komuniti yang diterapkan dalam dirinya sejak kecil menjadi pendorong kepadanya untuk berusaha menerangkan kebaikan vaksin kepada orang kampungnya seterusnya meyakinkan mereka bahawa vaksin dapat melindungi penduduk kampung daripada COVID-19.

Pegawai Perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Sipitang Dr Siti Musfirah Jahri pula berkata pasukannya berdepan dengan kerisauan penduduk mengenai vaksin, namun memuji sikap penduduk yang hadir sendiri pada program itu untuk bertanya secara terus dengan petugas kesihatan mengenai vaksin.

“Jangan risau, sebelum bagi vaksin penduduk diberi penerangan, ada juga petugas kita yang terangkan kepada penduduk dalam bahasa tempatan seperti bahasa Lundayeh. Selain itu, berita palsu juga berikan cabaran tetapi komuniti ini berusaha terangkan, ini kita patut contohi,” katanya yang berasal dari Papar.

Dr Siti Musfirah berkata sebagai anak Sabah beliau amat berbangga dapat membantu melindungi penduduk terutama di kawasan pedalaman Negeri di Bawah Bayu itu daripada ancaman penyakit dan gembira dengan bantuan serta kerjasama penduduk setempat dalam merealisasi usahanya itu.

Tinjauan Bernama semasa program itu mendapati ramai penduduk hadir bagi mendapatkan vaksin, walaupun ada yang terpaksa dipapah dan didukung kerana tidak dapat berjalan dengan baik disebabkan uzur namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mendapatkan vaksin COVID-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *