
KOTA KINABALU : Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar hasil beberapa siri serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, yang membawa kepada rampasan dadah bernilai lebih RM1.23 juta, termasuk dua buah kenderaan mewah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh bin Dikun berkata, serbuan pertama dijalankan pada 4 Julai lalu kira-kira jam 7.45 malam di sebuah kondominium di pusat bandar Kota Kinabalu, yang dihuni seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
“Pemeriksaan ke atas salah sebuah bilik di premis tersebut menemui sebuah beg berisi plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat 790.56 gram dianggarkan bernilai RM25,000, bersama sebuah mesin pengira wang, alat penimbang digital dan peralatan membungkus dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Siasatan lanjut membawa kepada dua serbuan susulan pada 5 Julai. Dalam serbuan kedua sekitar jam 7.50 pagi di kondominium lain yang turut disewa suspek, polis menemukan 14.14 gram dadah disyaki ketamin.
Serbuan ketiga pula dilakukan pada hari yang sama, jam 11.30 pagi, ke atas sebuah kenderaan Toyota Yaris yang ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta awam berhampiran Galeri Seni Sabah.
“Hasil pemeriksaan menemukan 12.7 kilogram syabu, 6.9 kilogram ketamin, 25 paket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM960,000,” ujar Datuk Jauteh.
Dadah tersebut dipercayai dibawa masuk ke Sabah untuk tujuan pasaran antarabangsa dan mampu menampung lebih 100,000 kali penggunaan oleh penagih.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM270,000, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM1.23 juta.
Suspek kini ditahan reman sehingga 11 Julai 2025 mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Menurut CP Datuk Jauteh, kejayaan ini adalah hasil risikan bersepadu dan tindakan pantas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah.
“PDRM Sabah akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi menghapuskan aktiviti pengedaran dadah, terutamanya sindiket yang cuba menjadikan negeri ini sebagai laluan transit antarabangsa. Komitmen kami adalah untuk melindungi masyarakat daripada ancaman najis dadah,” tegas beliau.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah