
TAWAU : Polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun selepas disyaki menceroboh masuk ke sebuah bilik sewa dan cuba menyerang seorang wanita yang sedang tidur dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota Strike Team Balai Polis Tawau di kawasan tempat letak kereta sebuah inap desa di bandar ini, kira-kira jam 10.15 malam Khamis.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang wanita berusia 25 tahun yang menjadi mangsa kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa sedang tidur di bilik sewanya sebelum tersedar apabila suspek menyelinap masuk ke dalam bilik dan menekup mulut mangsa dalam cubaan untuk menyamun.
“Mangsa yang terkejut bertindak menjerit dan menepis tangan suspek, sebelum berjaya menolak pintu bilik sehingga menyebabkan suspek tercampak keluar,” katanya.
Namun, suspek tidak segera melarikan diri dan masih berada di luar rumah, menyebabkan mangsa bersama beberapa penyewa lain bersembunyi kerana bimbang akan keselamatan mereka.
“Tindakan pantas mangsa dan penyewa lain telah berjaya menggagalkan cubaan samun tersebut. Tiada sebarang barang berharga dilaporkan hilang dalam kejadian itu,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta maklumat risikan membawa kepada penahanan suspek beberapa hari kemudian.
“Ketika ditahan, polis turut merampas topi, beg silang dan selipar milik suspek yang dipercayai digunakan semasa kejadian. Semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” tambah Jasmin.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk kemungkinan suspek terbabit dalam beberapa kes jenayah lain sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada, memastikan pintu dan tingkap rumah sentiasa dikunci dengan rapi serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah