
KENINGAU : Seorang wanita berusia 40 tahun, Suzila Adip, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di hadapan sebuah bank di Jalan Masak, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai juruwang kafe disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, menurut pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati mangsa dirempuh sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 52 tahun sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar pula oleh Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun.
“Mangsa melambung akibat impak pelanggaran dan tercampak ke hadapan kereta kedua,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Keningau untuk bedah siasat. Kedua-dua pemandu tidak disyaki mabuk, namun sampel darah telah diambil bagi ujian toksikologi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan suasana pilu di lokasi kejadian, termasuk jeritan ahli keluarga mangsa yang mengundang simpati ramai.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Keningau, Inspektor Amiliyawati Amin di talian 017-5004724.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah