GRS Sudah Lakukan Yang Terbaik Untuk Rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Sabah menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang hampir lima tahun mentadbir negeri itu bersama Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata inisiatif berkenaan termasuk memberikan peruntukan besar untuk pelajar dan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya beliau menyerahkan kepada rakyat sama ada untuk memberikan peluang sekali lagi kepada gabungan GRS-PH untuk menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Kita sudah buat yang terbaik walaupun masih banyak lagi yang patut kita lakukan. Ada lagi masalah, masalah air yang kita warisi dari dahulu. 

“Tetapi kerajaan hari ini telah dan sedang melaksanakan projek menaik taraf loji-loji kita untuk memperbaiki bekalan air di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji tidak menolak kemungkinan persidangan kali ini merupakan yang terakhir sebelum DUN dibubarkan namun tarikh pembubaran itu masih belum dimuktamadkan dan perbincangan mengenainya masih dilakukan.

Ahad lepas, Bernama melaporkan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 Nov ini sekiranya DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *