Sidang DUN Sabah: Bung Moktar Bangkit Isu Harga Rumah Di Negeri Ini Mahal

Bung Moktar

KOTA KINABALU : Harga rumah di Sabah yang jauh lebih tinggi berbanding negeri lain menjadi punca ramai rakyat mengeluh kerana sukar memiliki kediaman sendiri.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN–Lamag) ketika mengemukakan soalan tambahan berhubung perancangan kerajaan untuk membantu rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri.

“Sedarkah bahawa di Sabah ini rumah mampu milik terlalu sedikit? Harga rumah lebih mahal daripada di seluruh Malaysia. Ini perlu kementerian kaji. Ramai kakitangan dan orang awam mengeluh bahawa rumah paling mahal adalah di Sabah,” katanya.

Soalan itu diajukan kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Isnin.

Sebelum itu, dalam soalan tambahannya, Bung Moktar turut menyatakan bahawa rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sangat mendapat sambutan meskipun hanya ditawarkan secara sewaan.

“Rumah PPR ini sangat popular di Sabah, rakyat berebut-rebut untuk mendapatkannya walaupun hanya disewa. Matlamatnya sepatutnya untuk menyewa sementara, mungkin tiga tahun, sebelum mereka membeli rumah baharu.

“Adakah kerajaan tidak mempunyai mekanisme atau pendekatan? Kasihan mereka, menyewa bertahun-tahun tetapi masih tiada rumah sendiri. Tidakkah kerajaan negeri cuba berbincang dengan Kerajaan Persekutuan atau mana-mana agensi agar rumah ini ditawarkan melalui konsep sewa untuk beli? Supaya mereka ada masa depan.

“Masalah utama di negeri ini adalah kekurangan rumah. Jadi, adakah kementerian dan kerajaan negeri berhasrat membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Sabah yang masih belum memiliki rumah?” soalnya.

Menjawab persoalan itu, Joachim memaklumkan bahawa polisi semasa hanya membenarkan rumah PPR disewa sebagai langkah sementara untuk membantu rakyat sebelum mereka mampu memiliki kediaman sendiri.

“Ini hanya sementara sahaja. Sebagai makluman, kalau kita berikan rumah PPR melalui sewa beli, nanti lebih ramai lagi akan menunggu untuk menyewa.

“Buat masa ini, polisi kita hanya membenarkan sewa dan mereka ini diberi peluang. Apabila mereka mempunyai pendapatan lebih baik, mereka boleh membeli rumah sendiri,” katanya.

Menjawab soalan tambahan seterusnya, beliau mencadangkan supaya Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, membawa isu itu ke peringkat Parlimen untuk dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan.

SumbeR: Sinar Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *