Pondok Judi Dalam Talian Diserbu, Ejen Ditahan di Tawau

Pondok yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan judi online dan barang rampasan.

TAWAU : Kegiatan haram seorang lelaki dipercayai ejen perjudian dalam talian terbongkar selepas pondok yang dijadikan pusat operasi di kawasan Tanah Merah, Batu 2, Jalan Apas di sini diserbu polis, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau hasil maklumat orang awam yang disalurkan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, maklumat yang diterima membawa kepada serbuan di lokasi tersorok itu sebelum seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an berjaya diberkas.

“Turut dirampas dalam serbuan ialah beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian seperti telefon bimbit, komputer riba dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dari pondok terbabit yang terletak jauh dari penempatan utama.

“Suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmin menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti perjudian dan jenayah lain kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi seperti aplikasi VSP.

“Kerjasama awam amat penting dalam membanteras kegiatan haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membawa kesan buruk seperti masalah kewangan, keruntuhan institusi keluarga serta peningkatan kes penipuan dan jenayah kekerasan.

“Polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan perjudian dalam talian di daerah ini, dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat,” tegasnya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *