
TUARAN : Seorang guru wanita berusia 41 tahun ditemui maut dengan kesan kecederaan parah pada leher dan kepala dalam kejadian tragis di Kampung Tenghilan, Tamparuli, pada Jumaat lalu.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di bahagian belakang rumah keluarganya, dengan kedua-dua matanya turut cedera teruk dipercayai akibat senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin mengesahkan penahanan seorang suspek lelaki berusia 47 tahun yang juga abang kandung mangsa, di lokasi kejadian pada hari sama.
“Suspek dipercayai mengalami masalah mental dan pernah mendapatkan rawatan susulan di fasiliti kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian, manakala bedah siasat telah dilakukan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, dan diminta menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau balai polis berhampiran jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah