
BEAUFORT:Cubaan tiga lelaki disyaki pengedar dadah meloloskan diri dengan memecut laju dan hampir merempuh polis ketika diserbu membawa padah apabila dua daripada mereka berjaya diberkas selepas aksi kejar-mengejar beberapa kilometer.
Kejadian berlaku jam 4.15 pagi di Jalan Membakut ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menjalankan Ops Gempur hasil risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, sebaik mengesan sebuah kenderaan mencurigakan dinaiki tiga lelaki, pasukan polis cuba memintas dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil melaungkan arahan berhenti.
“Namun, pemandu bertindak agresif dan meluru ke arah anggota serbuan sehingga hampir merempuh mereka. Bagi mempertahankan diri dan menghentikan kenderaan, beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar hadapan kanan,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Tindakan itu memaksa pasukan polis mengejar kenderaan suspek sebelum berjaya memintasnya di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Lumat. Ketiga-tiga suspek melarikan diri ke kawasan semak, namun dua daripadanya berjaya diberkas.
Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 29 dan 18 tahun, manakala seorang lagi masih diburu.
“Hasil pemeriksaan menemui kotak rokok berisi 51.28 gram dadah jenis syabu bernilai RM3,800 yang disembunyikan dalam poket seluar salah seorang suspek,” katanya.
Polis turut merampas sebuah kereta dan beberapa unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut. Siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Kedua-dua suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh,” jelas beliau.
Tambah Wong, usaha mengesan seorang lagi suspek masih diteruskan, selain siasatan untuk mengenal pasti sumber bekalan dadah kumpulan berkenaan.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu pihak polis dalam menumpaskan saki-baki rangkaian pengedaran dadah di kawasan itu.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah