Bekas Ketua Menteri Sabah Tak Tolak Kemungkinan Tanding Semula Pada PRN17

SANDAKAN: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak akan dibuat selepas mengambil kira jumlah kerusi serta lokasi kawasan yang bakal ditandingi partinya dalam PRN berkenaan.

“Bagi saya, tanding atau tidak, itu bukan isu besar. Kita perlu lihat gambaran keseluruhan — biasanya di mana (kawasan) dan berapa (kerusi), barulah saya tahu di mana saya berada (bertanding),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Bersama SAPP Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) Tanjung Papat dan CLC Elopura, di sini, hari ini. Majlis itu dihadiri kira-kira 250 perwakilan dari kedua-dua kawasan.

Yong pernah memimpin Sabah di bawah sistem penggiliran Ketua Menteri dan sebelum itu berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri. Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas dari 1985 hingga 2002 serta Ahli Parlimen Gaya dari 1999 hingga 2002.

Mengulas lanjut, beliau berkata rundingan pembahagian kerusi antara SAPP dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berlangsung.

“Di Sandakan, ada kerusi Tanjung Papat, Elopura dan Batu Sapi. Sekurang-kurangnya satu kerusi akan ditandingi SAPP. Di kawasan pantai timur dan pantai barat, kita sedang berbincang,” jelasnya.

Yong turut menyuarakan keyakinan bahawa PRN kali ini akan berpihak kepada parti-parti tempatan, termasuk GRS, berikutan sentimen semasa pengundi.

“PRN akan datang saya lihat akan berkisar antara parti tempatan dan parti dari Malaya. Bagi SAPP, sebagai parti yang sudah lebih 30 tahun ditubuhkan di Sabah, trend itu akan memihak kepada kita,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *