
PAPAR : Impian dua keluarga dari kawasan Parlimen Papar untuk memiliki kediaman yang lebih selesa akhirnya tercapai apabila permohonan mereka di bawah program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) diluluskan dan siap sepenuhnya.
Antara penerima bantuan tersebut ialah Rosmih @ Intan Awang, 53, seorang balu yang hanya bekerja sebagai pembantu kantin sekolah. Beliau sebelum ini tinggal di rumah lama yang uzur dan tidak selamat untuk didiami bersama tiga anaknya.
“Rumah itu berusia lebih 20 tahun, dinding reput, atap bocor. Bila hujan, air masuk dan basahi lantai serta perabot. Saya hanya berniat mahu baiki, tapi tidak sangka diberi rumah baharu sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, ke rumahnya di Kampung Perumahan Kuala Papar.
Rosmih menzahirkan kesyukuran kerana dipertemukan dengan pemimpin akar umbi yang mencadangkan beliau memohon bantuan berkenaan.
“Alhamdulillah, kini kami tinggal di rumah lengkap tiga bilik yang jauh lebih selesa. Kami juga terima bantuan lain daripada kerajaan yang banyak membantu mengurangkan beban hidup,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Zuraidin Hais, 42, menyifatkan rumah baharu itu sebagai hadiah terindah selepas 15 tahun hanya menumpang di rumah ibu bapanya bersama isteri dan empat anak.
“Bila musim perayaan, kami terpaksa bersempit di ruang tamu. Tahun lalu saya mohon bantuan ini dan dua minggu lepas kami terima kunci rumah. Rasa syukur itu tidak dapat digambarkan,” katanya.
Sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah, Zuraidin berkata pendapatannya sekadar cukup untuk menyara keluarga, apatah lagi menabung untuk membina rumah sendiri.
“Gaji cukup-cukup makan. Tapi saya kuatkan semangat demi keselesaan anak-anak. Kini, kami ada tempat sendiri untuk berteduh,” katanya.
Selain bantuan perumahan, beliau juga menerima sokongan lain seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), zakat kerajaan negeri, serta bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Datuk Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata pelbagai bentuk sokongan disediakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
“Kerajaan Madani komited memastikan setiap isi rumah mempunyai keperluan asas seperti makanan. Selain inisiatif menaikkan gaji penjawat awam dan pelaksanaan gaji minimum, bantuan tunai seperti STR, SARA dan SYUKUR terus diperkukuh,” jelas beliau.
Tambahnya, pendekatan turun padang membolehkan kerajaan menilai sendiri keberkesanan bantuan serta mendengar keluhan rakyat secara langsung.
“Saya sendiri bertanya kepada penerima. Ada yang terima kesemua bentuk bantuan – STR sebanyak RM1,200 setahun, SARA melalui MyKad di premis rakan strategik, dan bantuan negeri secara berfasa melalui SYUKUR,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah