Cubaan Edar Dadah Gagal, Lelaki Dicekup Bersama 204.91 Gram Ganja di Tawau

TAWAU:Tindakan pantas polis berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah apabila seorang lelaki tempatan diberkas bersama ganja seberat lebih 200 gram dalam satu serbuan di hadapan Era Mini Market, Batu 8, Ranggu, malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan sekitar jam 9 malam ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas gerak-gerinya dilihat mencurigakan.

“Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melakukan pemantauan selama kira-kira 15 minit sebelum membuat tangkapan.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku menyimpan dadah dan menyerahkan satu plastik putih bertulis ‘MR DIY’ kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pemeriksaan lanjut ke atas plastik tersebut menemukan sebuah kotak putih turut berjenama ‘MR DIY’ yang mengandungi alat penimbang digital dan tiga bekas plastik lutsinar.

Di dalam bekas itu terdapat 24 paket plastik pelbagai saiz berisi ketulan tumbuhan mampat disyaki ganja.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat 204.91 gram dengan nilai anggaran pasaran sekitar RM4,500,” jelasnya.

Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah sebuah telefon bimbit model Vivo Y20, serta kenderaan pacuan empat roda Toyota berwarna merah beserta kunci.

Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek juga menunjukkan keputusan positif bagi bahan aktif ganja, iaitu tetrahydrocannabinol (THC).

“Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin turut menegaskan bahawa kesalahan berkaitan pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah merupakan jenayah berat yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan.

Beliau dalam pada itu menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah demi memastikan keselamatan komuniti setempat.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *