
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barangan kosmetik dari negara jiran dalam serbuan awal pagi semalam di kawasan Tanah Merah, Sandakan.
Dalam operasi jam 1.45 pagi itu, sebanyak 3,466 botol kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya dirampas, dengan nilai anggaran RM65,484.
Menurut Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Nazri Ibrahim, barangan berkenaan ditemui dalam enam plastik besar di dalam sebuah pacuan empat roda mencurigakan yang bahagian belakangnya ditutup kanvas.
Suspek sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Barangan rampasan dipercayai untuk pasaran tempatan tanpa pemeriksaan atau kelulusan pihak berkuasa dan kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
PPM menegaskan akan terus mempertingkatkan operasi membanteras penyeludupan yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah