Penjawat Awam dan Pesara Didakwa Terima Rasuah Berkaitan Permohonan Tanah

Kedua-dua tertuduh diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU: Seorang penjawat awam dan pesara kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini atas dua pertuduhan cuba memperoleh rasuah membabitkan permohonan dan bancian tanah kerajaan, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, berusia 56 dan 62 tahun, membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pertama yang ketika itu bertugas sebagai Juruteknik Gred J17 di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak, didakwa cuba mendapatkan wang tunai RM54,000 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.

Ia sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah baharu membabitkan 27 peserta dalam Skim Pekebun-Pekebun Kecil Madai Baturong (SPPKMB), Kunak, di sebuah studio di daerah Kunak, kira-kira jam 8 malam pada Mei 2016.

Sementara itu, tertuduh kedua seorang pesara yang ketika kejadian bertugas sebagai Pembantu Tadbir N17 di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, pula didakwa cuba mendapatkan wang tunai RM12,000 daripada lelaki berusia 71 tahun.

Ia sebagai ganjaran untuk menjalankan bancian tanah membabitkan kumpulan Cornilius dan 16 peserta lain, walaupun tiada lagi lot tanah untuk dibanci di bawah skim sama. Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar bandar Lahad Datu pada Jun 2016.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Vivien Thien dan Jhassery P. Kang.

Mahkamah membenarkan tertuduh pertama diikat jamin RM10,000 manakala pesara terbabit sebanyak RM6,000, masing-masing dengan seorang penjamin tempatan.

Kedua-duanya turut diperintahkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan sekali. Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *