Lelaki Warga Asing Ditahan Bersama 56.87 Gram Syabu Di Tawau

Suspek ditangkap bersama dadah jenis syabu dalam serbuan berkenaan.

TAWAU : Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 38 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 56.87 gram dalam satu serbuan di Kampung Brantian, Kalabakan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin bin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 5.00 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau menerusi Ops Gempur Khas.

“Ketika serbuan dijalankan, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan. Polis kemudian memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.

“Hasil pemeriksaan, suspek telah menyerahkan sebuah beg yang mengandungi 32 paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 56.87 gram dengan anggaran nilai hampir RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan sebuah telefon bimbit berjenama.

Menurut Jasmin, hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pihaknya kini giat menjalankan risikan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di kawasan tersebut.

ACP Jasmin turut menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan dadah, sama ada sebagai pengguna mahupun pengedar, kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mampu menghancurkan masa depan diri, keluarga dan masyarakat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melipatgandakan operasi, risikan dan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membendung penularan dadah, terutamanya di kawasan pedalaman dan bandar.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki berlaku sebarang aktiviti berkaitan dadah di kawasan mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama orang awam amat penting dalam usaha membanteras jenayah dadah secara menyeluruh demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *