‘Kami Dimalukan di Media, Akan Bersihkan Nama di Mahkamah’ – ADUN Sindumin

Yusof (kanan) dan Andi Muhammad Suryady ketika ditemui pemberita di luar mahkamah pada Isnin

KOTA KINABALU : Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menegaskan bahawa mereka tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah selepas didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, pada Isnin.

ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, mereka telah dimalukan menerusi laporan media, namun yakin dapat membersihkan nama mereka melalui proses perundangan.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami yakin tidak bersalah dalam kes rasuah ini. Kami telah banyak dimalukan dalam media dan melalui proses ini, kami akan membersihkan nama kami melalui mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Dr Yusof turut menyatakan keyakinannya terhadap sistem keadilan negara.

“Sekarang saya dan Andi (ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy) berpegang kepada prinsip bahawa seseorang dianggap tidak bersalah selagi kesalahannya belum dibuktikan. Kami tidak mahu perkara ini mengganggu tumpuan kami sebagai wakil rakyat untuk terus berkhidmat,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan akan mematuhi semua prosedur mahkamah.

“Saya menyanjung tinggi kedaulatan undang-undang negara kita dan yakin proses perundangan akan berjalan dengan telus dan adil.

“Dalam proses ini, saya dan Dr Yusof akan membuktikan bahawa kami tidak bersalah. Kami akan bersihkan nama kami dan Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar. Saya juga akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, dan itu adalah yang paling utama,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua ADUN terbabit merupakan antara tiga individu yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dalam prosiding pendakwaan pada Isnin.

SumbeR: Sinar Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *