1 Maut 3 Cedera, Pacuan Empat Roda Bertembung Lori Di Sipitang

Pacuan empat roda yang dinaiki semua mangsa rosak teruk di bahagian hadapan.

SIPITANG : Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan lori tiga tan di Kampung Lingkungan Ulu, Jalan Sindumin, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 3.37 petang sebelum mengerahkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS ke lokasi kejadian, kira-kira 14 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda dan sebuah lori yang membawa muatan besi. Kesemua empat mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiga mangsa lelaki berusia antara 47 hingga 66 tahun mengalami kecederaan, dua daripadanya dilaporkan parah dan telah dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa lelaki berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.50 petang selepas memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *