Balik Dari Festival Regatta Lepa, Pengerusi PMBS Maut Nahas Di Jalan Kunak-Lahad Datu

KUNAK, 29 Jun 2025 : Perjalanan pulang sembilan ahli Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) ke Kota Kinabalu selepas menghadiri Festival Kebudayaan Regatta Lepa 2025 berakhir dengan tragedi apabila van dinaiki mereka terbabas di Jalan Bukit Ular, Kunak-Lahad Datu, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7 pagi, Pengerusi PMBS Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu yang berusia 74 tahun maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu. Isteri dan anak mangsa antara lapan yang cedera dan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha, berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 7.19 pagi, dan enam anggota bomba bersama jentera serta unit EMRS dikerah ke lokasi.

“Setibanya kami di lokasi, didapati van terbabas sendiri ke bahu jalan. Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM. Kami terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkannya,” katanya dalam kenyataan media.

Kesemua mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang dari Semporna selepas menyertai program kebudayaan Regatta Lepa 2025. Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 9.09 pagi.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *